Suri rumah rugi RM98,670 diperdaya skim bantuan prihatin

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

ALOR GAJAH 20 Januari – Seorang suri rumah berputih mata selepas wang simpanan miliknya berjumlah hampir RM100,000 lebur akibat terpedaya dengan penipuan tawaran skim bantuan prihatin.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata wanita berusia 42 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu tidak dikenali yang mendakwa dirinya wakil syarikat telekomunikasi dari ibu pejabat di Kuala Lumpur pada 25 Disember tahun lalu.

Katanya, suspek memaklumkan mangsa terpilih untuk menerima bantuan prihatin dan mengarahkannya untuk mengisi maklumat dalam pautan yang diberikan suspek.

“Pengadu menekan ‘link’ (pautan) tersebut dan menyambungkan ke satu laman sesawang sebelum pengadu mengisi maklumat pada kata pengguna (username) dan kata laluan melalui perbankan atas talian.

“Mangsa turut dikehendaki mengisi maklumat tarikh luput kad debit pengeluaran wang automatik (ATM) serta nombor kod CVC di belakang kad ATM.

“Selesai perbualan, pengadu membuat semakan mendapati wang dalam akaun miliknya dipindahkan ke beberapa jenis akaun bank tidak dikenali melalui lapan transaksi, yang keseluruhannya berjumlah RM98,670,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis ke Balai Polis Alor Gajah Rabu lalu.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Arshad berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menekan sebarang pautan diberikan individu tidak dikenali serta memberikan maklumat dan butir peribadi perbankan untuk mengelakkan suspek memancing data (phishing) dari maklumat akaun perbankan diberikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1869
Kongsi :
Previous post Perhebat promosi, sasar 8.2 juta pelancong ke Melaka
Next post LPM perkasa integriti ikrar bebas rasuah
Ubah saiz-+=