Suri rumah pelajar terbaik Ijazah Watikah Al-Quran
BUKIT BARU 5 Mac – Rajin membaca al-Quran pada waktu lapang menjadi kunci kejayaan seorang suri rumah untuk terus istiqamah mendalami ilmu kalam Allah SWT itu.
Kholidah Ahmad, 51 berkata, walaupun bukan lagi di usia muda, namun dia tidak kekok mahupun malu untuk mengikuti kelas pengajian bersama Persatuan Pengajian dan Kuliah Asas Membaca Al-Quran (PERKAMA) sejak tahun 2019 lalu.
Berkat kesungguhan dan semangat yang tinggi, dia berjaya merangkul gelaran Anugerah Pelajar Terbaik pada Majlis Konvokesyen PERKAMA Kali Ke-10 Ijazah Watiqah Al-Quran 2023, di Auditorium Masjid Al Azim, hari ini.
“Selain menghadiri kelas PERKAMA saya juga banyak mempelajari bacaan al-Quran menerusi rancangan di televisyen pada waktu lapang.
“Dengan cara ini saya dapat memantapkan lagi bacaan saya kerana sebagai ibu juga saya mahu anak-anak mengikut jejak saya.
“Saya bukan hanya hadir kelas PERKAMA, kelas agama yang lain juga saya ada sertai, saya mulakan bacaan ini dari rumah dengan orang sekeliling saya iaitu anak-anak dan suami.
“Walaupun bacaan belum sempurna tetapi saya cuba betulkan bacaan setiap hari, selepas solat saya akan baca al-Quran biarpun hanya sehelai muka surat,” katanya.
Terdahulu Kholidah menerima anugerah tersebut yang disampaikan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.
Hadir sama Pengerusi PERKAMA, Johari Hussain; Timbalan Pengerusi PERKAMA Ghazali Khamis dan Imam Besar Masjid Negeri, Datuk Mohamad Hashim Al-Hafiz.
Sementara itu, Johari bersyukur apabila seramai 69 pelajar PERKAMA telah dianugerahkan ijazah pada majlis tersebut.
“Hasil dorongan dan bantuan banyak pihak akhirnya kita dapat memberikan ijazah kepada pelajar-pelajar ini untuk kali ke-10.
“Kejiwaan, kesepaduan dan kesepakatan warga PERKAMA membawa kita sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.
“Namun begitu, kami juga merasakan perjuangan dalam menegakkan syiar Islam masih jauh dan panjang, ilmu al-Quran bukan milik PERKAMA tetapi milik semua,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.