Suri rumah cuba bidang baharu, jana pendapatan
AYER KEROH 3 Jun – “Semoga penyertaan dalam kursus urutan ini dapat membantu saya menjana pendapatan sendiri,” kata peserta Kursus Urutan Selepas Bersalin Norfinas Mohd Nor.
Menurut Norfinas, 48, sebelum ini dia tiada langsung pengalaman dalam bidang urutan namun dengan kursus yang dihadiri boleh membantunya mencuba sesuatu yang baharu.
Suri rumah ini berkata, dia hanya mengharapkan suami yang melakukan kerja kampung sebagai sumber pendapatan.
“Sepanjang kursus banyak maklumat baharu saya dapat hasil perkongsian dengan rakan-rakan sudah lama aktif dalam bidang ini.
“Ini pun sudah ada yang tempah tetapi dalam masa terdekat ini saya akan cuba urut ahli keluarga terdekat dulu,” katanya.
Ibu kepada tiga anak itu ditemui selepas Majlis Penutup Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) 2022 -Kursus Urutan Selepas Bersalin (Postnatal) Dan Kursus Jahitan Kreatif, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan turut dihadiri Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Komuniti KPKT Datuk Muhamad Musa.
Hadir sama Pengerusi Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan (SLDN) Malaysia Datuk Joyah Abd Rashid, EXCO Hal Ehwal Wanita Datuk Kalsom Noordin dan Setiausaha Kerja DMDI Malaysia, Datuk Abdul Rahim Abu.
Terdahulu, kursus selama tujuh hari itu yang dianjurkan bersama Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan (SLDN) Malaysia dan DMDI itu membabitkan 80 perserta dari Zon Selatan iaitu Melaka dan Johor.
Daripada jumlah itu seramai 60 peserta membabitkan kursus urutan selepas bersalin manakala 20 orang mengikuti kursus menjahit kreatif.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.