Suri rumah 66 tahun rugi RM34,040 diperdaya ‘kekasih’ Jerman

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Suri rumah yang juga warga emas kerugian lebih RM34,000 selepas diperdaya sindiket ‘Love Scam’ sebelum membuat laporan polis semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, wanita berusia 66 tahun itu berkenalan dengan suspek yang kononnya tinggal di Jerman melalui Facebook sejak Februari lalu.

Menurutnya, sepanjang perkenalan suspek yang berhubung dengan mangsa melalui Whatsapp memberitahu mahu menghantar bungkusan kepadanya yang mempunyai sejumlah mata wang Euro untuk ditukar kepada Ringgit Malaysia (RM).

“Suspek memberi alasan tindakannya itu kerana mahu menetap di Malaysia dan sedang mencari rumah.

“Mangsa kemudiannya telah menerima kiriman Whatsapp dari suspek yang mendakwa kononnya ejen dari syarikat kurier memberitahu barangan yang dikirim oleh suspek mempunyai wang tunai,” katanya.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan

Tambahnya, ejen kemudian meminta mangsa untuk membuat bayaran kos penghantaran, duti setem, cukai pendapatan dan caj pertukaran mata wang Euro kepada Ringgit.

“Mangsa yang percaya dengan kata-kata ejen tersebut telah membuat 19 kali transaksi bayaran keseluruhannya berjumlah RM34,040 ke nombor tujuh akaun bank berbeza yang diberikan ejen terbabit.

“Setelah bayaran dibuat, ejen tersebut masih meminta wang dari mangsa tetapi mangsa enggan menurutinya kerana percaya telah menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Sundra Rajan berkata, mangsa yang tidak menerima sebarang bungkusan seperti dijanjikan suspek kemudian telah membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu dan orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun yang diragui dalam laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘check scammers ccid’.

Views:

672
Kongsi :
Previous post Boleh tonton Liga Super, Liga Perdana di stadium mulai 1 April ini
Next post PKPD di Sekolah Henry Gurney Telok Mas, dilanjutkan hingga 2 April
Ubah saiz-+=