Sorting by

×

Surat Sultan Muhammad al-Fateh perlu fakta sahih – PERZIM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 10 Julai – Penyebaran mengenai surat khas Sultan Muhammad al-Fateh buat Kesultanan Islam Melaka pada sekitar tahun 1450 masih memerlukan bukti-bukti sahih untuk disahkan sebagai penemuan sejarah.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Mohd Nasruddin Rahman berkata, buat masa ini berita mengenai surat khas tersebut hanya didengari berdasarkan satu sumber memandangkan setiap bukti sejarah memerlukan banyak sumber sebelum dapat disahkan.

“Surat itu dikatakan pada tahun 1440 yang mana Sultan Muhammad al-Fateh telah menjemput Sultan Melaka, Sultan Mansur Syah bersama-sama laksamana terbaik yang menjadi sebutan pada ketika itu, Hang Tuah untuk ke Istanbul dan menjalinkan kerjasama.

“Bagaimanapun, dikatakan Sultan Mansur Syah tidak dapat datang ke sana dan mengarahkan Hang Tuah (mewakili Sultan Mansur) untuk pergi ke Istanbul pada waktu itu.

“Tetapi, ini hanya mengikut sumber sahaja dan ia belum boleh disahkan sebagai satu sumber sahih atau tidak.

“Ada juga yang mengatakan sumber mengenai surat ini terdapat di Muzium Topkapi, Istanbul, tetapi buat masa ini ia belum sahih kerana dalam ilmu sejarah kita tidak boleh hanya bergantung kepada satu sumber sahaja, sebaliknya perlu ada banyak sumber untuk mengesahkan bukti sejarah tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Nasruddin tidak menolak fakta mengenai kedatangan Hang Tuah ke Turki kerana ia telah disebut dalam Hikayat Hang Tuah dalam bab ke-26.

“Memang dalam Hikayat Hang Tuah ada menyebut Hang Tuah telah pergi ke Turki untuk membeli senjata. Boleh jadi, ia mungkin berkaitan dengan itu.

“Tetapi dalam penceritaan tersebut tidak dinyatakan mengenai pertemuan di antara Hang Tuah dengan Sultan Muhammad al-Fateh. Jadi, ia agak sukar untuk mengesahkan tentang fakta ini,” katanya lagi.

Views:

3794
Kongsi :
Previous post Cemas kaki tergelincir dalam tangki ammonia
Next post Al Jazeera : 4 individu dipanggil beri keterangan – Bukit Aman
Ubah saiz-+=