
SunPower sasar tingkat pelaburan lebih RM100 juta – Ab Rauf
ALOR GAJAH 24 Mei- Kilang menghasilkan panel solar terbesar Melaka, SunPower Malaysia Manufacturing Sdn Bhd menyasarkan untuk meningkatkan pelaburan sehingga lebih RM100 juta tahun ini.
EXCO Kanan Perindustrian dan Pelaburan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata perkara itu bagaimanapun perlu mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga bagi projek menaik taraf panel solar.
“Saya mohon kepada kerajaan dan Suruhanjaya Tenaga untuk mempertimbangkan kelulusan permohonan SunPower bagi menghasilkan lebih janakuasa solar untuk kegunaan syarikat ini sendiri.
“Syarikat ini berkemampuan dan sedang berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan selain telah menyediakan 96 peratus peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
“Ia sekaligus membawa perkembangan terbaharu kepada bidang teknologi solar di kilang ini seterusnya memacu kemajuan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Kilang SunPower di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut Ab Rauf turut menyempurnakan penyerahan 40 kit makanan kepada penduduk di kampung-kampung sekitar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.