Sungai Rambai destinasi agropelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SUNGAI RAMBAI 24 September – Pelancongan berkonsepkan agro akan dibangunkan di Sungai Rambai dengan menjadikan sawah padi sebagai tarikan kepada pelancong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis berkata, idea itu diambil pihaknya susulan keadaan sawah padi yang terdapat di kawasan itu mempunyai pemandangan yang indah, selain ia masih aktif diusahakan.

“Di Sungai Rambai kita akan buat satu program iaitu agropelancongan yang mana kita akan perkenalkan sawah padi yang cantik dan indah di kawasan ini.

“Kita lihat Melaka sebuah negeri yang kecil dan tidak mempunyai banyak sawah padi tetapi yang terdapat di Sungai Rambai ini cantik dan masih aktif.

“Dari sawah padi kita akan buat inap desa dan tempat untuk orang melakukan aktiviti rekreasi. Apabila siap kelak konsep ini akan memberi pengalaman menarik buat pelancong, selain dapat menikmati suasana kampung,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Program Gerak RAHMAH 2023: Jom Gerak Muhibah Peringkat Negeri Melaka, di Dewan Rambai Istana, di sini, semalam.

Terdahulu, majlis perasmian program itu disempurnakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

IMG_20230923_194959_196
KEINDAHAN sawah padi di Sungai Rambai. Foto Iqmal Haqim Rosman

Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, bagi mempromosikan destinasi pelancongan sawah padi di Sungai Rambai, satu program yang lebih kepada komuniti iaitu Karnival Bendang akan turut diadakan pada bulan hadapan.

“Untuk itu kita sudah meminta Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) untuk membawa bersama pelancong luar bagi menyertai karnival ini nanti, ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan keunikan Sungai Rambai, selain sukan tradisional kepada mereka.

“Penganjuran program seperti ini secara tidak langsung bukan sahaja dapat memperkenalkan Sungai Rambai malah membantu mempromosikan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1936
Kongsi :
Previous post Budaya makan, tidur lewat semakin membimbangkan
Next post Masih kurang rakyat Melaka jalani saringan kesihatan
Ubah saiz-+=