SUNGAI RAMBAI DAPAT KLINIK KESIHATAN BAHARU
SUNGAI RAMBAI 24 November – Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai bakal menerima klinik kesihatan baharu yang akan menggantikan klinik sedia ada sekali gus memberi keselesaan kepada orang ramai ketika mendapatkan rawatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis berkata, klinik kesihatan baharu itu diluluskan menerusi Rolling Plan 5 (RP5) membabitkan kos berjumlah lebih RM38 juta.
Katanya, kelulusan pembinaan itu hasil kerjasama dan usaha pelbagai pihak termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
“Menerusi RP5 kita menerima berita baik apabila pembinaan klinik kesihatan baharu yang akan dibuat di atas tanah milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diluluskan.
“Lokasi klinik kesihatan baharu itu nanti bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai dengan keluasan tanah lebih tujuh ekar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas turun padang menyantuni peniaga pada Program Jualan Agro Madani, di perkarangan Japerun Sungai Rambai, di sini, semalam.
Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri memaklumkan, perbincangan sudah diadakan bersama pihak pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi kerja awalan termasuk pecah tanah.
“Saya sudah berbincang bersama pelaksana dan dimaklumkan bahawa kerja-kerja awalan akan dimulakan pada tahun hadapan.
“Selain itu, bagi majlis perasmian pecah tanah pula dijangka akan diadakan pada awal tahun, manakala kerja-kerja pembinaan bangunan akan dibuat pada 2026,” katanya.
Jelasnya, selain akan menggantikan klinik kesihatan sedia ada yang boleh dikategorikan sebagai daif, klinik kesihatan baharu itu nanti juga akan dilengkapi dengan kuarters kakitangan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.