Sungai Linggi Cruise beroperasi Disember ini

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

SERI NEGERI 2 Ogos – Sektor ekopelancongan Negeri Melaka bakal dirancakkan lagi dengan pembukaan Sungai Linggi Cruise pada Disember tahun ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, tarikan terbaharu oleh Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu berbeza dengan Melaka River Cruise di Sungai Melaka yang mana ia akan lebih berkonsepkan alam semula jadi.

Katanya, untuk tahun pertama nanti, disasarkan seramai 3,500 pengunjung akan menaiki perkhidmatan berkenaan.

“Menjelang hujung tahun ini, PPSPM akan meletakkan dua bot berkapasiti 20 penumpang di lokasi terbabit.

“Sebagai permulaan, tarikan terbaharu itu akan beroperasi pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 9 pagi hingga 11 malam dan operasi pada hari lain berdasarkan tempahan yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab ucapan penggulungan Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai naik taraf lokasi pelancongan di DUN tersebut pada hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, dengan pembukaan Sungai Linggi Cruise itu akan memberi limpahan rezeki kepada penduduk setempat.

“Sungai Linggi Cruise berkonsepkan ekopelancongan ini dapat memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung yang mana mereka juga boleh menyelusuri kawasan Ekopelancongan Paya Lebar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1154
Kongsi :
Previous post TAPS Tasik Biru Chin Chin bantu sumber air tambahan Melaka
Next post Pintu gerbang baharu untuk pelancongan Kuala Linggi
Ubah saiz-+=