Sungai Kesang habitat buaya
SUNGAI RAMBAI 15 Jun – Orang ramai dinasihatkan agar tidak mandi-manda di Sungai Kesang, di sini, yang kini menjadi tarikan susulan airnya bertukar jernih kebiruan, kerana dikhuatiri akan menjadi mangsa serangan buaya.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Melaka Mohd Hasdi Husin berkata, kawasan sungai itu dikesan terdapat habitat buaya tembaga pada 2018 selepas pemerhatian dilakukan pihaknya susulan aduan oleh penduduk kampung tentang kehadiran reptilia berkenaan.
“Papan tanda amaran juga sudah diletakkan di kawasan itu dan orang ramai diingatkan agar tidak mandi-manda kerana bimbang akan berlaku kejadian tidak diingini.
“Reptilia ini selagi ada makanan dan habitatnya tidak diganggu, ia akan berada di situ cuma tidak menampakkan diri,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di kawasan sungai berkenaan di Laman Belia, di sini, hari ini.
Mohd Hasdi berkata pihaknya difahamkan air Sungai Kesang bertukar jernih berkemungkinan disebabkan tiada aktiviti pembukaan tanah serta pertanian di hulu sungai itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengunjung, Roziah Awang, 37, berkata, dia amat teruja menjejak kaki ke kawasan sungai itu sebaik melihat airnya yang jermih kebiruan sehingga menampakkan dasarnya.
“Sebagai anak Melaka saya amat bangga. Kawasan ini mampu menjadi lokasi tarikan pelancong dan berharap ianya akan terus terpelihara,” katanya.
Penduduk Kamil Abdullah, 55, berkata, pernah melihat beberapa ekor reptilia berkenaan berjemur di bawah jambatan berdekatan.
“Ia hanya muncul sekejap sebelum menghilangkan diri, mungkin tidak mahu diganggu atau diancam,” katanya.