Sumber air mentah baharu untuk penduduk Kuala Linggi

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SERI NEGERI 30 November – Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi bakal menikmati bekalan sumber air mentah baharu dengan pembinaan Loji Air Jernih berkapasiti 90 juta liter sehari (JLH) mengguna pakai sumber air mentah Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, projek bernilai RM388 juta itu secara tidak langsung menyelesaikan masalah tekanan air rendah di DUN itu yang merupakan kawasan penghujung sempadan Negeri Melaka.

“Projek ini meliputi kerja-kerja pembinaan muka sauk, membina tangki air imbangan Ramuan Cina Kechil, tangki simpanan Sekawang, penanaman paip air mentah dan paip air terawat bagi sistem bekalan air loji sepanjang 26 kilometer.

“Jangkaan pembinaan loji dan sistem jajaran paip ini akan mula dilaksanakan pada pertengahan tahun 2024. Selain mengatasi masalah bekalan air di Kuala Linggi, penduduk di Masjid Tanah, Lubok Redan, Paya Mengkuang, Pengkalan Balak, Tanjung Bidara, Ayer Limau dan Solok Duku turut menerima manfaatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai perancangan Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah bekalan air di DUN Kuala Linggi pada hari keempat Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hameed berkata bagi mengatasi masalah itu dalam jangka masa pendek, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) melaksanakan pembelian air terawat daripada Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) melalui Perjanjian Bekalan Air Pukal, sekiranya berlaku gangguan bekalan air.

“Punca bekalan air di DUN Kuala Linggi sering mengalami masalah tekanan air rendah disebabkan bekalan air di kawasan ini diperolehi daripada Loji Rawatan Air Bertam di Durian Tunggal.

“Selain itu, kawasan Kuala Linggi juga merupakan kawasan penghujung sistem jajaran paip bagi agihan air Loji Rawatan Air Bertam tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1494
Kongsi :
Previous post Paip air baharu atasi masalah tekanan air rendah Sungai Rambai
Next post LTAM bakal dijadikan pusat aeroangkasa negara – KM
Ubah saiz-+=