
SUMBANGAN RAYA UNTUK WARGA JABATAN KETUA MENTERI MELAKA
SERI NEGERI 25 Mac – Lebih 1,000 kerja warga Jabatan Ketua Menteri Melaka yang beragama Islam menerima sumbangan Aidilfitri bertujuan menceriakan dan sebagai menghargai peranana mereka dalam membantu melancarkan sistem pengurusan serta pembangunan negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif dilaksanakan itu juga bertujuan memastikan tiada yang terpinggir daripada menikmati kegembiraan menyambut Syawal yang bakal menjelang.
Ab Rauf berkata, sumbangan disampaikan diharap dapat menceriakan penerima selain menampung perbelanjaan dalam membuat persiapan Aidilfitri yang kini berbaki kurang seminggu sahaja lagi.
“Sumbangan ini diharapkan akan memberi keceriaan dan kegembiraan buat saudara-saudari dalam membuat persiapan menyambut perayaan Aidilfitri yang akan kita sambut kurang seminggu lagi, insya-Allah.
“Semua penjawat awam digalakkan untuk terus menanamkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian, bukan hanya sepanjang Ramadan tetapi dalam setiap aspek kerja dan tanggungjawab demi kesejahteraan negeri dan rakyat.
“Saya amat menghargai usaha dan komitmen semua penjawat awam yang menunjukkan nilai kebersamaan dan manifestasi kasih sayang dalam komuniti kerja bagi menyemarakkan semangat Ramadan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Warga Jabatan Ketua Menteri Melaka di Dataran Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam dan lain-lain barisan exco serta timbalan exco Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati semua agar berhati-hati ketika memandu pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan.
“Semua dinasihatkan untuk memastikan kenderaan dalam keadaan baik serta mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.