Sumbangan komputer riba beri semangat baharu

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDA HILIR 13 Mac – Hanya rasa syukur dan berterima kasih dapat diungkapkan 10 penuntut Politeknik Melaka yang menerima sumbangan komputer riba daripada syarikat korporat.

EG Pavitra, 19, pelajar bidang Kejuruteraan Elektrik Politeknik Melaka, sumbangan itu nyata meringankan bebanannya sebagai pelajar kejuruteraan.

“Saya tidak mempunyai komputer pada semester lalu dan pada semester baharu ini hanya bergilir menggunakan komputer riba bersama adik.

“Ayah kerja sebagai petani dan ibu seorang suri rumah, jadi saya harap dengan pemberian komputer riba ini dapat membantu saya menghabiskan pengajian.

“Ia sekali gus dapat mengubah nasib keluarga pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Zakat Serta Komputer Riba bersama Agensi Korporat dan Rakan Industri Kepada Pelajar B40 Politeknik Melaka di sebuah hotel di sini hari ini.

Nada sama turut dizahirkan seorang lagi penuntut Politeknik Melaka, Muhammad Iqbal Qayyumi Jamali, 20, dalam bidang Kejuruteraan Awam.

Katanya, dia yang sebelum ini menggunakan komputer riba kakaknya memberitahu, pemberian komputer riba baharu ini membolehkan dia memuat turun aplikasi pembelajaran baharu kerana komputer ribanya sudah ‘outdated’.

“Alhamdulillah, saya doakan mereka yang menyalurkan sumbangan komputer riba ini diberi pahala berlipat ganda kerana komputer riba ini benar-benar membantu saya untuk memuat turun aplikasi lukisan kejuruteraan yang paling terkini.

“Sebelum ini saya guna komputer dari kakak, sebab kami keluarga tidak mampu, dan hanya guna komputer riba turun-temurun atau gunakan sistem giliran.

“Saya umpamakan pemberian komputer riba baharu ini memberi semangat baharu pada semester baharu ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1814
Kongsi :
Previous post ‘Jurutera’ fertigasi terung
Next post Tanpa deposit, asnaf dialu-alukan berniaga di Bazar Ramadan Bukit Katil
Ubah saiz-+=