
SUMBANGAN AIDILFITRI, BUAH TANGAN UNTUK DUTA KECIL PELANCONGAN MELAKA
BANDA HILIR 25 Mac – Sumbangan Aidilfitri daripada Kerajaan Negeri, dianggap sebagai satu bentuk penghargaan kepada 260 pengayuh beca berlesen yang juga duta kecil pelancongan Melaka.
Pengayuh beca veteran Kamaruzaman Arshad, 63, berkata, Kerajaan Negeri bukan sekadar cakna berhubung aspek kebajikan sebaliknya melakukan banyak pembaharuan bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan beca yang juga ikon pelancongan.
Katanya, pembaharuan khusus yang dilaksanakan sepanjang Melaka diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dilihat mempu memberikan banyak manfaat untuk pengayuh beca di negeri ini bagi tempoh jangka panjang.
“Syukur dan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana tidak lupa kepada pengayuh beca, peranan kami sebagai duta kecil pelancongan dihargai oleh beliau.
“Antara pembaharuan memberi impak positif yang dilaksanakan adalah mendigitalkan perkhidmatan beca dan pembahagian zon,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Kepada Pengusaha-Pengusaha Beca Melaka Tahun 2025 disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Muzium Rakyat, di sini, semalam.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Sementara itu Yusoff Hashim, 32, berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri pasti ada buah tangan daripada Kerajaan Negeri kepada pengayuh beca.
“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana sentiasa cakna dan menjaga kebajikan kami pengayuh beca. Memang saya menantikan sumbangan ini kerana secara tidak langsung dapat membantu dan meringankan beban dalam membuat persiapan raya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.