Sultan Selangor gesa SPRM jalankan siasatan menyeluruh berkaitan kes rasuah
Baginda juga berharap agar pelaku rasuah dihadapkan ke mahkamah dan jika disabit kesalahan, perlu dihukum dengan hukum berat sebagai mesej penolakan rakyat terhadap gejala rasuah.
Sultan Sharafuddin yang turut menzahirkan rasa kesal kerana masih ada penjawat awam dan pemimpin politik tidak jujur dalam melaksanakan amanah walaupun telah banyak kali diberi ingatan, bertitah bahawa baginda juga ada menerima laporan mengenai siasatan SPRM terhadap pemimpin politik berkaitan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Beta mengingatkan sekali lagi bahawa Beta tidak mahu mendengar sebarang laporan tentang penglibatan mana-mana pegawai kerajaan dan pemimpin politik negeri Beta di dalam amalan rasuah ini.
“Perasuah tiada tempat dalam masyarakat dan perlu kita perangai habis-habisan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14, di sini hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah impian Selangor untuk menjadi negeri maju akan sukar dicapai andai kata ada pemimpin politik dan pegawai kerajaan berterusan mementingkan kuasa dan kedudukan serta menjadikan amalan rasuah sebagai budaya hidup dengan mengetepikan kepentingan rakyat dan tidak berusaha memajukan semula ekonomi negeri yang teruk terjejas akibat COVID-19.
“Beta bimbang, pada usia beta 75 tahun ini, beta tidak sempat untuk melihat Selangor menjadi sebuah negeri yang maju dan pesat membangun dengan segala kemudahan yang menjamin keselesaan rakyat seperti kita semua idamkan,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas pengorbanan dan komitmen semua petugas barisan hadapan khususnya doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang bertungkus-lumus bekerja bagi memberi rawatan kepada pesakit COVID-19.
“Beta sangat menghargai semangat mereka yang tidak pernah luntur dalam melaksanakan tanggungjawab untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Beta,” titah baginda.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.