Sultan Perak jalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong sempena lawatan khas Agong ke UK

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom (UK).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata, perkara itu sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata lawatan khas Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke UK itu bermula hari ini hingga 27 Sept dan kemudiannya Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula 27 September.

“Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober.

Sekembali ke tanah air kemudian, Seri Paduka berdua berkenan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Ahmad Fadil berkata, lawatan khas itu merupakan kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Disember 2019.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata, dalam lawatan khas itu, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.

“Aturcara lawatan khas ini turut diisi dengan pertemuan antara Seri Paduka berdua bersama komuniti rakyat Malaysia di London,” katanya.

Selain itu, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst iaitu tempat Baginda pernah menimba ilmu ketenteraan dari 1978 hingga 1979.

Beliau berkata, Seri Paduka turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan UK Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.

Untuk rekod, Sir General Nicholas Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst.

Dari segi hubungan dua hala, UK merupakan rakan dagang ke-18 terbesar Malaysia pada 2020 dengan jumlah dagangan direkodkan antara kedua-dua negara sebanyak RM16.59 bilion (GBP3.08 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 0.8 peratus berbanding 2019.

Malaysia merekodkan nilai eksport ke UK sebanyak RM9.91 billion (GBP1.84 billion) manakala nilai import dari UK adalah sebanyak RM6.68 billion (GBP1.24 billion) pada tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1862
Kongsi :
Previous post Penuntut UTHM maut digilis lori
Next post KKM sasar 20 peratus hospital swasta diiktiraf hospital rakan bayi menjelang 2025
Ubah saiz-+=