Sultan Brunei sambut baik pelaksanaan VTL Brunei-Malaysia
Baginda percaya langkah itu akan menyumbang ke arah pemulihan ekonomi kedua-dua negara dan berharap kerjasama itu akan dapat diperluaskan khususnya dengan Sabah dan Sarawak dalam meningkatkan kesalinghubungan perdagangan.
“Ini akan memberi keyakinan dengan pihak swasta untuk terus bergerak maju ke hadapan dan dalam fasa pemulihan COVID-19,” titah baginda pada Majlis Santapan Rasmi di Istana Nurul Iman di sini hari ini.
Majlis santapan itu diadakan selepas pertemuan empat mata antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan Sultan Hassanal sempena lawatan rasmi Ismail Sabri dan delegasi ke Brunei bermula semalam.
Baginda bertitah dengan situasi wabak COVID-19 yang masih melanda dunia, Brunei dan Malaysia terus berganding bahu dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terus terjamin.
“Hubungan akrab yang sekian lama terjadi antara kerabat diraja mahupun kerajaan serta rakyat kedua negara kita adalah keunikan yang unggul dari keistimewaan yang berpaksikan kesamaan agama, rumpun sejarah dan bahasa.
“Oleh itu adalah penting untuk terus menyemai hubungan yang saat bermakna ini demi memupuk persefahaman dan silatulrahim antara kita,” titah baginda.
Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapan balas berkata hubungan yang begitu erat antara Malaysia dan Brunei telah membuka peluang kerjasama kepada kedua-dua negara dalam pelbagai bidang yang bermanafaat bersama meliputi perdagangan, kesihatan, pertahanan dan pelancongan.
“Hubungan negara bersaudara ini tidak hanya terhad kepada hubungan di peringkat dua hala sahaja namun hubungan akrab rakyat kedua-dua negara turut berada pada tahap yang membanggakan,” kata Perdana Menteri.
Terdahulu Perdana Menteri yang ditemani isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin tiba di Istana Nurul Iman di sini pada pukul 11.10 pagi untuk majlis menghadap Sultan Brunei.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Raja Reza Raja Zain Shah.
Perdana Menteri kemudian mengadakan pertemuan empat mata dan antara perkara yang dibincangkan pada pertemuan itu adalah pelaksanaan VTL antara Brunei dan Malaysia dan pengikrafan bersama Sijil Vaksinasi COVID-19.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke Brunei selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ogos lepas. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.