Sorting by

×

Sulaiman ucap selamat mengundi, seru beri peluang tubuh kerajaan stabil

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 15 Nov – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengucapkan selamat mengundi kepada pengundi awal yang akan menunaikan kewajipan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.

Dalam satu hantaran di Facebook rasminya, Sulaiman memberikan aku janji akan bekerja lebih kuat dalam memajukan negeri ini, sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat.

Beliau turut menyeru pengundi agar memberi peluang kepada BN untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh di Melaka.

“Apa khabar orang Melaka? Esok adalah Hari pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi penggal ke-15.

“Di kesempatan ini, saya memberikan aku janji kepada semua anak-anak, adik kakak, abang-abang, pakcik-pakcik dan makcik-makcik pengundi di Melaka, jika Barisan Nasional sekali lagi diberi mandat lebih kukuh dan stabil kali ini, saya bersama-sama semua calon Barisan Nasional akan bekerja lebih kuat lagi untuk memajukan Negeri Melaka.

“Saya merayu dan menyeru kepada pengundi di Melaka ini, agar dapat memberi peluang kepada Barisan Nasional untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang lebih stabil dan kukuh di Melaka,” katanya.

Terdahulu, SPR memaklumkan seramai 11,557 pengundi akan mengundi awal esok.

Ia melibatkan 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1595
Kongsi :
Previous post Rim: Dira mahu ketengah bakat sukan dari kampung
Next post PRN Melaka: 2,322 anggota dan pegawai polis undi awal hari ini
Ubah saiz-+=