Sulaiman tinjau Empangan Durian Tunggal

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

DURIAN TUNGGAL 9 Mac – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali hari ini mengadakan lawatan kerja ke Empangan Durian Tunggal.

Kehadirannya itu adalah untuk melihat sendiri situasi semasa paras air di empangan utama Melaka berikutan cuaca panas yang berlaku sejak bulan lalu dan dijangka berlarutan hingga pertengahan April depan.

Dalam lawatannya itu, beliau turut dibawa menaiki sebuah bot untuk melihat kawasan pencerobohan tanah yang berlaku dalam empangan berkenaan.

SULAIMAN selepas meninjau kawasan empangan dengan menaiki bot.

Seterusnya, beliau telah menyempurnakan simbolik penyerahan ‘portable water treatment plant’ atau loji rawatan air mudah alih yang disumbangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Terdahulu, beliau tiba di empangan berkenaan pada kira-kira jam 3.30 petang.

Ketibaannya disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Datuk Zaidi Attan, Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Abd Rashid Ab Rahman dan Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka Faizah Abd Rahman.

Dalam laporan Melaka Hari Ini sebelum ini, Sulaiman memberi jaminan tidak akan membuat catuan bekalan air dalam masa terdekat memandangkan bekalan air di semua empangan di negeri ini masih berada pada paras mencukupi walaupun berdepan cuaca panas luar biasa.

Berdasarkan data paras empangan yang dikeluarkan setakat 7 Mac, Empangan Durian Tunggal merekodkan kapasiti 22,013 juta liter air atau 70.6 peratus, manakala Empangan Jus, Jasin, berkapasiti 36,365 juta liter air atau 86.3 peratus.

Empangan Asahan di Jasin pula kini mempunyai kapasiti air 99.9 peratus atau bersamaan 695 juta liter air.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1084
Kongsi :
Previous post Kehadiran pelancong merosot 83.4 peratus
Next post Rentas pelancongan antara negeri PKPP namun bersyarat
Ubah saiz-+=