Sulaiman mohon maaf sempena kehadiran Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 12 April. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf kepada semua pihak bersempena Ramadan yang menyaksikan umat Islam seluruh negara bakal menunaikan ibadah puasa bermula esok.

Sulaiman berkata, sebagai manusia biasa, beliau tidak terkecuali melakukan khilaf dalam pentadbirannya yang mungkin ada masanya tidak disenangi atau menyakitkan hati mana-mana pihak.

Justeru, dengan rasa rendah diri beliau dan keluarga memohon keampunan serta pada masa sama turut menitipkan doa agar ibadah puasa yang dijalani rakyat di negeri ini diberkati.

SULAIMAN (tengah) melihat buku ‘Melaka 2035 Satu Perjalanan’ bersama Hasim (kiri) pada Majlis Pencapaian Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2020-2021. Turut serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Salhah Salleh (kanan). Foto: MR. Azli

“Saya ingin memohon jutaan ampun dan maaf sekiranya sepanjang pentadbiran saya ada cacat-cela, atau mungkin ada senyuman dan sapaan tidak dibalas atau salaman yang tidak sempat saya jawab.

“Sekali lagi saya memohon maaf kerana saya hanya manusia biasa. Saya mendoakan agar semua dapat menjalani ibadah puasa dengan dengan penuh kebaikan. Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pencapaian Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2020-2021 di Hotel Hatten, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, barisan Exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengingatkan rakyat negeri ini terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan 2.0 (PKPP 2.0) bagi membolehkan semua menjalani ibadah puasa dengan sempurna tahun ini.

“Tahun lalu, puasa kita cukup berbeza apabila berdepan banyak sekatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, selain tidak dapat menunaikan solat Tarawih di masjid.

“Jadi, tahun ini mungkin berbeza. Cuma, suka saya ingatkan sentiasalah jaga SOP, penjarakan fizikal dan tidak bersesak-sesak di satu-satu kawasan. Jaga diri kita sekali gus kita dapat lindungi semua dan insya-Allah suasana Ramadan tahun ini akan berbeza,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

593
Kongsi :
Previous post Pembangkang bukan musuh politik: Sulaiman
Next post RM195,000 purata harga seunit rumah di Melaka, kekal terendah dalam negara
Ubah saiz-+=