Sulaiman bersama delegasi Melaka lawat STRIP UAE, teroka peluang pelaburan baharu
DUBAI 16 Mac – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama delegasi kerajaan negeri Melaka, hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke Sharjah Research Technology and Innovation Park (STRIP), di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sulaiman berkata, objektif pertemuan itu adalah untuk mencipta lebih banyak peluang pelaburan baharu, selain mengajak pelabur untuk mengembangkan operasi di Malaysia, khususnya di Melaka.
“Saya berharap pertemuan ini dapat memberikan ruang kerjasama baharu memandangkan STRIP memiliki pelbagai inovasi khususnya dalam membangunkan dan mengurus ekosistem inovasi yang menggalakkan dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan menyokong aktiviti perusahaan serta industri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.
Lawatan itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari, EXCO Kanan Pelaburan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Ketua-Ketua Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Melaka.
Manakala, STRIP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Tuan Yang Terutama Hussain Al Mahmoudi, Pengarah Komersial Moataz Ben Saoud, Pengurus Komersial Ahmed Hidayat Ullah dan Pengurus Pembangunan Ecosystem Shefiu Ismael.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.