Sorting by

×

Sulaiman, Abdul Hakim selesai buang undi

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

MASJID TANAH 19 November – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid selesai menjalankan proses pembuangan undi di Pusat Pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Darun (K) tepat jam 9.45 pagi tadi.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah hadir bersama tiga pengiringnya tepat jam 9.25 pagi dengan mengenakan pakaian korporat berwarna biru dengan seluar hitam.

Sejurus ketibaannya, beliau turut sempat bersemuka di perkarangan sekolah itu bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama Isterinya, Datin Seri Munirah M Yusop yang selesai menjalankan tanggungjawab itu di lokasi sama.

Abdul Hakim yang mengundi di Saluran 4 turut berkesempatan beramah mesra bersama penduduk malah turut berbaris bersama orang ramai sekitar 15 minit sebelum memasuki ruangan mengundi.

photo_2022-11-19_09-36-05
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop hadir menunaikan tanggungjawab dengan mengundi bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Sekolah Kebangsaan Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, Sulaiman bersama isteri yang hadir di pusat pengundian itu tiba sekitar 8.50 pagi tadi selesai menjalankan pengundian pada jam 9.24 pagi.

Kedua pasangan itu mengenakan tema warna sedondon iaitu warna ‘beige’ turut bersama berbaris bersama rakyatnya sekitar 20 minit di Saluran 2 di sekolah itu.

Dalam tinjauan sekitar 7.30 pagi mendapati, cuaca hujan renyai tidak menghalang orang ramai untuk menjalankan proses demokrasi itu bagi menentukan mandat kepada siapa yang bakal memegang pimpinan parlimen itu kali ini.

Keadaan dilihat tenang dikawal oleh polis dan petugas Sukarelawan Malaysia (Rela) biarpun berlaku sedikit kesesakan trafik sekitar 500 meter di kawasan berkenaan.

photo_2022-11-19_09-55-38
Calon Barisan Nasional (BN) Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid hadir menunaikan tanggungjawab mengundi bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Sekolah Kebangsaan Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beberapa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga turut melaksanakan tugas masing-masing mengawal kemasukan orang ramai di pintu masuk dan mengingatkan kepada orang ramai di pintu pagar sekolah itu untuk terus bersedia menyediakan kad pengenalan sebelum memasuki pusat pengundian.

Pada PRU15 ini, Parlimen Masjid Tanah berdepan empat penjuru membabitkan BN, Perikatan Nasional (PN), MUDA dan Pejuang.

BN yang diwakili Abdul Hakim, akan berdepan bersama PN oleh Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin diikuti MUDA diwakili Mutalib Uthman manakala Pejuang diwakili Handrawirawan Abu Bakar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1401
Kongsi :
Previous post Tun Mohd Ali dan Toh Puan Asmah selesai mengundi
Next post Ab Rauf tunai tanggungjawab sebagai pengundi
Ubah saiz-+=