SUKMA XXI: Melaka bertanding 34 acara sukan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Melaka menghantar seramai 461 atlet pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak, 17 hingga 24 Ogos depan, kata Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam.

Shanmugam memaklumkan, jumlah itu membabitkan penyertaan dalam 34 daripada 36 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.

Jelas beliau, dua acara sukan yang tidak disertai kontinjen Melaka adalah bola jaring dan bola tampar.

“Dua sukan yang kita ‘drop’ ini adalah disebabkan pelbagai isu dan faktor antaranya seperti sukan bola tampar kerana isu jurulatih yang digantung dan untuk bola jaring pula disebabkan mereka tidak ‘siap’ untuk bertanding.

“Dirumuskan kedua-dua pasukan negeri untuk dua sukan ini tidak dapat dihantar kerana persediaan untuk bertanding ke peringkat SUKMA tiada, jadi saya juga tidak mahu merugikan wang Kerajaan Negeri.

“Meskipun begitu, saya percaya kontinjen yang sedia ada ini mampu menggalas cabaran dan menghadiahkan sesuatu untuk Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Bil 8/2024 dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka Tahun 2024 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata untuk SUKMA XXI Sarawak, pihaknya telah memohon peruntukan tambahan kepada Kerajaan Negeri sebagai persiapan dan suntikan semangat buat atlet.

“Secara keseluruhan kita telah menerima RM2.5 juta peruntukan untuk pembangunan termasuk persiapan atlet negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

329
Kongsi :
Previous post IITTE 2024 capai sasaran 50,000 pengunjung
Next post Empat pelajar PMM terima bantuan Dermasiswa B40 TVET
Ubah saiz-+=