Sorting by

×

Sukma XXI: Emosi atlet turut diberi perhatian

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Aspek emosi atlet bakal beraksi pada Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI) Sarawak, turut diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan Kontinjen Negeri Melaka berjaya membawa pulang 20 emas yang disasarkan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, pihaknya mahu prestasi atlet Melaka ke Sukma XXI nanti berada pada tahap yang terbaik, sekali gus memberikan saingan kepada lawan dari negeri lain.

“Persediaan Sukma XXI kini berada pada fasa akhir, selain latihan sekarang ini kita beri tumpuan kepada aspek pengurusan emosi atlet dan teknik mengenai pemarkahan yang penting dalam membantu mereka menyumbang pingat kepada Melaka.

“Teknik mengawal emosi ini berbeza-beza mengikut sukan, Muay Thai ada caranya begitu juga dengan badminton dan yang lain-lain,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Latihan Atlet Sukma Muay Thai Kontinjen Negeri Melaka 2024 di Taman Muzaffar Height, di sini, pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu bapa angkat bagi sukan Muay Thai, Khoo Poay Tiong, Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) negeri, Mohd Asri Ninggal, Ketua Pegawai Eksekutif MITC Datuk Arif Shah Abdullah Sani, juga agensi angkat kepada sukan berkenaan, Penasihat Pesatuan Muay Thai Negeri Melaka, Khairudin Yunus dan Presiden Persatuan Muaythai Negeri Melaka Emrito @ Haris Alias.

Terdahulu pada majlis sama Shanmugam turut menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM30,000 daripada Pejabat Ahli Parlimen Kota Melaka kepada Persatuan Muay Thai Negeri Melaka sebagai persediaan ke Sukma XXI nanti.

Sementara itu mengulas mengenai bayaran dan insentif buat atlet serta pegawai yang terbabit dalam persediaan Sukma XXI, Shanmugam berkata, Melaka tidak berdepan sebarang isu tunggakan.

“Bagi persatuan menghangar tuntunan kepada MSN mengikut tempoh masa ditetapkan semuanya kita sudah selesaikan, bayaran dibuat bulan ke bulan. Namun bagi yang lambat hantar butiran diminta akan ada kelewatan.

“Kontinjen Melaka dijangka berlepas ke Sukma XXI pada minggu pertama Ogos, sebelum perasmian bermula. Kita membawa semangat kesukanan yang tinggi dan meraikan Sarawak sebagai tuan rumah yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan penganjuran kali ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

135
Kongsi :
Previous post Remaja lelaki jatuh bot di Pekan ditemukan lemas
Next post Khidmat ikhlas Muhammad Luqman
Ubah saiz-+=