SUKMA: Wushu ‘lubuk’ pingat Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 17 Ogos – Kem wushu berjaya membuktikan mereka kekal menjadi ‘lubuk’ pingat buat Melaka apabila menamatkan saingan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI dengan kilauan 16 butir pingat.

Selepas berakhir saingan wushu semalam, kontinjen Melaka meraih keseluruhan tujuh pingat emas, empat perak dan lima gangsa.

Keputusan itu, sekali gus menyaksikan Melaka muncul juara keseluruhan bagi acara wushu pada temasya kali ini.

Pingat emas pertama Melaka disumbangkan Bryan Ti Kai Jie menerusi acara Nanquan lelaki dan disusuli kejayaan Tan Pei Ler dalam Nanquan wanita.

Selepas itu, Wong Kai Xin menghadiahkan kilauan pingat emas ketiga dan keempat Melaka menerusi acara DaoShu dan Gungshu wanita, selain Bryan Ti Kai Jie turut menambah pingat emasnya pada temasya kali ini menerusi acara Nandao lelaki.

Dua lagi pingat emas pula disumbangkan Nor Azira Kamarudzaman dan Loi Xue Jing, masing-masing menerusi acara Nandao wanita dan Sanda 60 kilogram lelaki.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang mewakili Kerajaan Negeri Melaka sempat bertemu dengan atlet wushu yang berjaya mengharumkan nama negeri Melaka.

Pada pertemuan itu, beliau turut menyampaikan ucapan tahniah daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post UTeM sambut baik kenaikan gaji penjawat awam
Next post PPSPM bangunkan aplikasi Melaka River Cruise
Ubah saiz-+=