Sukma: Wushu, badminton, silat paling cemerlang untuk Melaka
KONTINJEN wushu muncul penyumbang terbesar pingat emas untuk Negeri Melaka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 yang berakhir semalam.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata, sukan wushu sahaja mengutip sembilan emas untuk negeri ini iaitu lebih separuh daripada keseluruhan 17 emas yang dibawa pulang.
Katanya, selain wushu, badminton turut menjadi penyumbang tiga emas, diikuti dua emas daripada pencak silat dan masing-masing satu pingat emas disumbang acara renang akuatik, olahraga jalan kaki dan angkat berat.
Meskipun begitu, katanya, ada beberapa acara sukan yang disasarkan emas pada temasya edisi ke-20 ini tidak menjadi kenyataan, antaranya sukan muaythai yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas tipis pada dua aksi final.
“Beberapa sukan lain yang kita memang sasarkan emas seperti kapal layar dan akuatik, namun terdapat beberapa kesilapan teknikal yang saya kurang pasti mengapa ada atlet yang menarik diri saat akhir.
“Bagaimanapun, bagi menghargai atlet-atlet kita ini, kerajaan negeri akan tetap memberikan insentif kepada atlet yang telah mengharumkan nama Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Larian Obor anjuran Kelab Malacca di Kampung Hailam, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Shanmugan berkata, insentif bagi pemenang pingat di Sukma dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.
Untuk rekod, Melaka menghantar seramai 488 atlet yang bertanding pada kesemua 31 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukma tahun ini.
Kredit Foto: MSN Melaka
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.