SUKMA: ‘Tok Ajak’ suntik semangat atlet kriket, berbasikal Melaka
KOTA LAKSAMANA 26 Julai – Atlet Melaka bagi sukan kriket dan berbasikal menerima suntikan semangat sebelum beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, 13 hingga 25 Ogos depan.
Suntikan itu berupa sumbangan berjumlah RM15,000 kepada setiap persatuan sukan berkenaan oleh jabatan angkat iaitu Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) bagi sukan kriket dan Menara Taming Sari Berhad bagi sukan berbasikal.
Tidak hanya itu, bapa angkat kepada dua sukan itu iaitu Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, turut mengumumkan sumbangan tambahan secara peribadi berjumlah RM2,000.
Dalam ucapannya, Abdul Razak berharap atlet yang mewakili negeri pada temasya tersebut dapat memberikan aksi terbaik dan dapat menghadiahkan kilauan pingat untuk Melaka.
“Saya amat berharap sukan berbasikal dan kriket untuk sekurang-kurangnya meraih satu pingat di SUKMA dan dapat mengharumkan nama Melaka,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pasukan Kriket dan Berbasikal Negeri Melaka Sempena SUKMA 2024 Sarawak di Pejabat PPSPM, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Khairunnisa Ibno Masooda; Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Nasrul Ahmad; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal dan lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri turut berharap atlet berbasikal dan pasukan kriket Melaka dapat mempromosikan sektor pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Saya memohon agar atlet-atlet ini selain bertanding dapat juga mempromosikan pelancongan Melaka terutamanya Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.