SUKMA: Melaka sasar 10 emas dari kem wushu
MACHAP JAYA 13 April – Melaka meletakkan sasaran 10 pingat emas diraih atlet wushu pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak, Ogos depan.
Bapa angkat kepada Persatuan Wushu Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, selepas mempamerkan aksi cemerlang pada saingan sebelum ini, kem wushu Melaka kekal menjadi fokus utama dalam membawa pulang kilauan pingat untuk Negeri Melaka.
Justeru, beliau berkata, bagi mempersiapkan lagi kontinjen sukan seni tempur itu, satu mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan segala pemasalahan dihadapi atlet dan pengurusan.
“Dua tahun lepas pada SUKMA Ke-20 atlet wushu kita berjaya menyumbang sembilan emas dan pada temasya kali ini kita sasarkan 10 pingat emas keseluruhan.
“Untuk itu dalam masa terdekat ini kita akan adakan satu mesyuarat bagi membincangkan masalah yang dihadapi mereka begitu juga dengan keperluan mereka.
“Kita harap sebelum bermulanya SUKMA ke-21 yang dijangka akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos, hal-hal yang berkaitan dapat diselesaikan,” katanya.
Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, dari segi persiapan atlet, pihaknya dimaklumkan ia berjalan dengan baik dan seramai sembilan atlet akan berentap pada temasya SUKMA Sarawak.
“Kita berharap dengan pergerakan pantas dan aksi cemerlang atlet yang bertanding akan berjaya memikat hati juri dan membawa kepada pungutan mata yang tinggi sekaligus berjaya merangkul pingat,” katanya.
Untuk rekod kem sukan wushu Melaka mempamerkan aksi cemerlang di SUKMA Perak pada 2018, dan terus mendominasi sukan itu pada SUKMA Kuala Lumpur sekali gus muncul sebagai penyumbang terbesar pingat emas untuk Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.