Sorting by

×

Sukma Johor ditunda: Atlet Para Sukma Melaka terkilan

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 9 Nov. – Sedih dan terkilan. Itulah perasaan yang dapat diungkapkan seorang atlet Para Sukan Malaysia (Sukma) yang mewakili Melaka dalam acara balapan.

Ia selepas Kementerian Belia dan Sukan mengumumkan pembatalan Sukma dan Para Sukma 2020 di Johor akibat ketidaktentuan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Atlet olahraga negeri Muhammad Hafiq Hizwan Norizan yang sepatutnya beraksi dalam acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter di Para Sukma berkata, dia bagaikan tidak menyangka persiapan yang dilakukannya selama ini berakhir dengan sia-sia apabila tidak dapat beraksi.

Katanya, dia sudah membayangkan tiga pingat akan dibawa pulang ke bumi bersejarah Melaka dalam temasya itu nanti, namun harapan itu terkubur selepas mendapat tahu mengenai pembatalan tersebut di media sosial.

“Semangat saya memang sangat tinggi untuk temasya itu. Saya sudah 80 peratus bersedia dari segi mental dan fizikal dan meletakkan sasaran untuk meraih tiga pingat, tidak kiralah apa warna sekali pun.

“Tapi bila sudah jadi macam ini, nampaknya saya terpaksa menunggu dua tahun lagi untuk merealisasikan impian tersebut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bagaimanapun, Muhammad Hafiq Hizwan berkata, dirinya akur dengan keputusan tersebut memandangkan faktor kesihatan dan keselamatan semua adalah lebih sepanjang tempoh sukar ini.

Menurutnya, disebabkan keputusan itu, semua latihan pusat yang sepatutnya diadakan dalam masa terdekat telah ditangguhkan.

Justeru, dia kini terpaksa kembali menjalani tugas hakikinya sebagai sebagai penghantar makanan dan pada masa sama tetap menjalani latihan sendiri untuk mengekalkan stamina.

“Apa boleh buat, kami mesti meneruskan kehidupan dan sentiasa menjalani latihan untuk mengekalkan stamina.

“Saya difahamkan jika COVID-19 reda, mungkin akan ada kejohanan sirkit secara kecil-kecilan. Itulah tapak untuk memastikan kami terus mengekalkan prestasi sebelum menunggu edisi Para Sukma akan datang yang dijangka pada 2022,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada edisi Para Sukma 2018 di Perak sebelum ini, Muhammad Hafiq Hizwan berjaya membawa pulang dua pingat gangsa dalam acara 200 meter dan 400 meter.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan pembatalan Sukma dan Para Sukma Johor 2020 kerana sukar untuk memberi jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30,000 yang terlibat dalam temasya itu termasuklah atlet, jurulatih, pegawai, sukarelawan dan pengurusan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan Johor akan tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Views:

1486
Kongsi :
Previous post Kira-kira RM4.5 juta bangunkan PPK luar bandar
Next post 1, 800 kontak rapat Kluster Berendam disaring
Ubah saiz-+=