SUKMA: Atlet Melaka tidak datang ke Sarawak untuk ‘window shopping’
AYER KEROH 21 Julai – Atlet Melaka yang akan beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak, 17 hingga 24 Ogos depan, komited dalam memastikan sasaran kilauan 20 pingat emas berjaya dicapai.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, misi itu penting untuk direalisasikan berikutan persiapan lebih awal telah dilakukan bagi menghadapi temasya sukan dwitahunan itu.
Jelas beliau, antara perkara yang diberi perhatian adalah dari sudut emosi atlet, di mana Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka telah melantik pakar psikologi sukan bagi memastikan mental atlet berada pada tahap terbaik.
“Seperti edisi SUKMA yang lalu, kita hampir mencapai sasaran 20 pingat emas, namun kita tewas sedikit disebabkan sering termakan provokasi lawan.
“Ini dapat dilihat dalam beberapa acara seperti sukan tempur (martial art) yang menyaksikan atlet hilang kawalan emosi dan terlepas pingat emas. Untuk itu, kita melantik pakar bagi mengatasi kelemahan tersebut.
“Kali ini, kita mahu capai sasaran (20 pingat emas). Kita tidak datang (ke Sarawak) untuk ‘window shopping’, kita mahu bawa pulang pingat sebanyak yang boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam segmen Podcast ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ yang dihoskan Faris Haikal Zakaria di Studio Melaka TV, di sini.
Menurut Shanmugam, menjelang temasya berkenaan, pihaknya bersama MSN Negeri Melaka dan persatuan-persatuan sukan kini giat melakukan persiapan terakhir sebelum berangkat ke Sarawak.
Jelasnya, antara yang dilakukan ialah lawatan ke fasiliti sukan yang berpotensi menghasilkan pingat bagi meninjau persiapan serta segala keperluan atlet sebelum temasya itu berlangsung.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.