SUKMA 2024: Insentif menanti atlet memanah sumbang pingat

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 15 Ogos – Atlet memanah Melaka yang beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan diberikan insentif jika berjaya peroleh pingat pada temasya berprestij tersebut.

Ibu angkat sukan memanah Melaka, Datuk Salhah Salleh berkata, inisiatif pemberian insentif tersebut adalah sebagai tonik semangat kepada skuad memanah untuk peroleh pingat di SUKMA 2024.

“Saya mengambil maklum bahawa anda semua (atlet memanah) telah berlatih sehabis mungkin dan jika ada yang peroleh pingat, insentif akan diberikan menerusi jabatan angkat sukan memanah iaitu Perbadanan Melaka (MCORP).

“Lakukanlah yang terbaik di SUKMA 2024 nanti, walaupun pada SUKMA yang lepas kita (sukan memanah) tidak peroleh sebarang pingat, untuk SUKMA kali ini kita usaha sebaik mungkin,” katanya ketika berucap di hadapan 12 atlet serta staf jurulatih memanah Melaka dalam Majlis Penyerahan Replika Cek Sumbangan Kepada Persatuan Memanah Negeri Melaka di Lapang Sasar Memanah Ayer Keroh, petang tadi.

Hadir sama Presiden Persatuan Memanah Negeri Melaka, Zainal Bidin dan Pengurus Perancangan Perindustrian MCORP, Hairulzamani Othman.

Beliau yang juga Pegawai Kewangan Negeri Melaka turut menasihati barisan atlet memanah untuk kekalkan disiplin dan fokus dalam temasya SUKMA kali ini.

“Sukan memanah ini memerlukan anda semua untuk kekal fokus, jadi saya mohon agar anda kekalkan momentum dan terus fokus kepada objektif sebenar kita iaitu peroleh pingat dan harumkan nama Melaka di persada negara,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, Salhah selaku Ahli Lembaga Pengarah MCORP telah menyampaikan replika cek sumbangan serta sumbangan peralatan sukan atlet memanah Melaka sempena SUKMA 2024 kepada Zainal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

374
Kongsi :
Previous post Politeknik Melaka pilihan pelajar OKU
Next post UNIMEL tambah Pusat Kecemerlangan Falak
Ubah saiz-+=