Sukarelawan UTeM jayakan misi bantuan pasca banjir di Kelantan
DURIAN TUNGGAL 4 Januari – Peka dan cakna dengan kesukaran mangsa bencana di Pantai Timur, 120 sukarelawan membabitkan penuntut dan kakitangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjayakan program Misi Bantuan Pasca Banjir di Kelantan baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, sukarelawan adalah dalam kalangan Tuah Volunteer Team (TVT) selain turut membabitkan kakitangan Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.
“Sukarelawan UTeM menjalankan misi itu di Rantau Panjang dan Pasir Mas iaitu antara lokasi teruk terjejas akibat banjir.
“Misi kali ini mengambil masa dua hari, antara bantuan dihulurkan adalah membersihkan lokasi terjejas selain turut disampaikan bantuan makanan kepada mangsa memerlukan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, pada hari pertama pasukan UTeM melakukan kerja pembersihan di Kampung Serungga Hulu dan Serungga Hilir yang melibatkan 11 buah rumah serta Sekolah Menengah Ugama Arab Al-Falah Pasir Mas.
“Pada hari kedua pula misi bantuan diteruskan dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan Gual To’Deh Rantau Panjang dan enam buah rumah sekitar sekolah,” katanya.
Katanya lagi, antara aktiviti lain yang turut dijayakan oleh pihak UTeM adalah sesi ceramah motivasi yang disampaikan olehnya kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Gual To’ Deh yang mana hampir 90 peratus daripada mereka terkesan dengan banjir pada kali ini.
Menurutnya semangat kesukarelawanan hebat dipamerkan dalam mahasiswa dan kakitangan UTeM dalam misi bantuan kali ini.
Turut menjayakan misi bantuan ini adalah Timbalan Pendaftar Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Akmal Manap dan Pengarah Pusat Islam UTeM, Ustaz Muhammad Asyraf Sulaiman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.