Sorting by

×

Sukarelawan TMM2024 tidak kira usia

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

BANDA HILIR 17 September – Minat mendalam dalam aktiviti sukarelawan selain mengisi masa terluang sebelum mendapat pekerjaan mendorong seorang graduan insitusi pengajian tinggi (IPT) di Masjid Tanah menyertai program Volunteer Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Bagi Muhamad Solihin Moht Shati, 24 dia juga sering melakukan aktiviti sukarelawan ketika menuntut di Universiti Melaka dengan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekopelancongan dan Rekreasi.

Katanya, mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang itu juga menaikkan semangatnya untuk terlibat dalam program pelancongan dianjurkan Kerajaan Negeri.

“Jika ada minat, sudah tentu tidak menghalang saya untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan dan apa yang penting adalah niat saya untuk menabur bakti kepada Kerajaan Negeri.

“Sementara menunggu dapat kerja, tidak salah saya mengisi aktiviti lapang dengan kerja sukarelawan, jadi program seumpama ini tentunya memberi manfaat kepada golongan anak muda seperti saya,” katanya.

Dia berkata demikian pada Majlis Pelancaran Volunteer Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di sini hari ini.

IMG_0901
Sukarelawan, Muhammad Solihin Mohamat Shati ditemui pada Majlis Pelancaran Sukarelawan /Volunteer / Duta Pelancongan Tahun Melawat Melaka 2024 di Hatten Hotel, Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta timbalannya, Datuk Zaidi Attan.

Dalam program itu seramai 300 sukarelawan atau ‘volunteer’ terpilih menjadi duta pelancongan kecil sempena TMM2024 yang mana didedahkan mengenai pelancongan Melaka.

Program sukarelawan itu bukan sahaja disertai oleh golongan muda malah turut menarik minat golongan profesional untuk menyertainya.

IMG_0902
Sukarelawan, Basok Alwi Kalle Mangadji, 56 ditemui pada Majlis Pelancaran Sukarelawan /Volunteer / Duta Pelancongan Tahun Melawat Melaka 2024 di Hatten Hotel, Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut seorang tenaga pengajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Basok Alwi Kalle Mangadji, 56, usia lebih berusia tidak menghalangnya untuk memberikan sumbangan sukarelawan kepada Kerajaan Negeri.

“Saya mahu memperkenalkan Malaysia di mata dunia, lebih-lebih lagi di Melaka banyak warisan sejarah yang perlu kita dedahkan kepada masyarakat di dunia.

“Walaupun niat asal hanya menggalakkan anak-anak murid saya menyertai program sihat dan berfaedah ini, namun Alhamdulillah Ketua Menteri melonggarkan syarat usia dan menerima penyertaan saya.

“Saya sendiri ambil inisiatif ini kerana saya adalah anak jati Johor jadi, secara tidak langsung saya sendiri dapat pelajari pelbagai warisan di negeri ini antaranya pantun dan budaya joget lambak yang perlu kita tahu asal usul selain ketengahkan kepada orang luar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1171
Kongsi :
Previous post TMM2024: Kejohanan golf Melaka tawar 3 buah kereta
Next post Satu malam, 12,000 pengunjung santai di Banda Hilir
Ubah saiz-+=