Sukarelawan Melaka selamatkan 300 mangsa banjir Pantai Timur
AYER KEROH 25 Disember – Paras air naik secara mendadak dan arus deras itu antara cabaran yang ditempuhi Pertubuhan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) ketika melakukan misi bantuan banjir ke Terengganu dan Kelantan selama empat hari, baru-baru ini.
Malah ada diantara bot dinaiki mereka ketika menyelamatkan mangsa beberapa kali hampir hanyut dibawa arus namun ia tidak sedikitpun mematahkan semangat skuad itu meneruskan misi kemanusiaan.
Pengerusi PSBM Ashwad Abd Rahim berkata, kumpulan mereka seramai kira-kira 20 orang bergerak ke Jerteh, Terengganu pada Ahad malam 18 Disember lalu dengan menaiki lapan pacuan empat roda dan tiba jam 6 pagi keesokkannya sebelum memulakan misi bantuan ke Hulu Besut.
Beliau berkata, skuadnya terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ‘team medic’ dan ‘team respond’ yang mana setiap daripada mereka mempunyai tugas tersendiri.
“Misi kami adalah membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS). Kami mulakan operasi dari awal pagi hingga tengah malam.
“Situasi waktu malam agak mencabar apabila kami hanya berpandukan kepada suara penduduk yang memanggil meminta tolong kerana keadaan yang gelap.
“Paras air memang naik dengan cepat dalam tempoh kira-kira empat jam ia sudah mencecah sehingga 5.1 meter. Kami juga kena lebih berhati-hati ketika membawa bot kerana arus amat deras tersilap langkah bot boleh hilang arah,” katanya.
Menurutnya, disebabkan keadaan air deras juga ada diantara penduduk yang terperangkap tidak dapat diselamatkan oleh pasukannya.
“Ada juga penduduk yang kami selamatkan ketika berada di atas bumbumg rumah, itupun mujur terdengar jeritannya meminta tolong.
“Malah ketika di Kelantan pula, kami menyelamat tujuh kanak-kanak termasuk remaja berusia 7 hingga 14 tahun yang terpisah daripada keluarga. Difahamkan sebelum kejadian mereka pergi bermain bola tetapi disebabkan air naik mendadak mereka terperangkap tidak dapat pulang,” katanya.
Katanya, sepanjang misi lima hari itu di Terengganu dan Kelantan, hampir 300 mangsa dapat diselamatkan oleh PSBM sebelum bergerak pulang ke Melaka.
“Disebabkan ada perkara yang perlu diselesaikan jadi kami terpaksa pulang dahulu ke Melaka sebelum berangkat semula pada Isnin ini (26 Disember) dengan membawa kit makanan serta keperluan seperti pakaian, bantal dan tilam.
“Di Hulu Terengganu banyak yang tidak dapat bantuan makanan mungkin disebabkan paras air tinggu dan arus yang deras jadi kami membeli roti untuk mereka sementara menunggu bantuan makanan tiba.
“Sepanjang misi itu kami turut bekerjasama dengan Malaysian Relief Agency (MRA) Melaka selain segala kos yang digunakan adalah atas perbelanjaan sendiri,” katanya yang memaklumkan dua pacuan empat roda PSBM rosak akibat dihanyutkan banjir.
Ujar Ashwad, untuk misi keduanya nanti, pihaknya akan membawa tambahan 30 sukarelawan sebagai persiapan menghadapi gelombang kedua yang bakal melanda.
“Selain melakukan operasi menyelamat, untuk misi kedua nanti kami akan bawakan juga seorang cef yang akan membantu dari segi penyediaan makanan.
“Kami juga ada mendapat sokongan dari Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) untuk misi ini malah sekiranya ada pihaknya yang ingin membantu atau menyumbang boleh menyalurkan bantuan ke Pertubuhan Sukarelawan Bencana Melaka menerusi akaun CIMB Bank, 8605390763,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.