Sorting by

×

Sukarelawan kesihatan janji berikan komitmen penuh

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

 

PANTAI KUNDOR 23 Jun – Sukarelawan kesihatan berjanji memberikan komitmen sepenuh jiwa dalam menjalankan tugas membantu kelancaran operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sejajar kenaikan elaun.

Bagi mereka, kenaikan elaun kepada RM100 sehari mulai bulan ini berbanding RM50 sebelum ini bukan sekadar kenaikan ganjaran wang, malah yang lebih penting ia adalah pengiktirafan kerajaan atas pengorbanan mereka membantu memutuskan rantaian COVID-19.

Norazlina Abdul Aziz, 49, berkata sejak memulakan tugas itu April lalu, dia tidak terlalu memikirkan aspek elaun, sebaliknya lebih menitikberatkan usaha memberikan perkhidmatan terbaik untuk memuaskan hati penerima vaksin di PPV Sungai Udang, Tanjung Kling, di sini.

NORAZLINA.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengiktiraf pengorbanan kami.

“Saya akan terus bekerja sepenuh jiwa bagi membantu melancarkan urusan pendaftaran penerima vaksin di sini,” katanya ketika ditemui di PPV berkenaan, hari ini.

Bekas anggota tentera itu berkata, disiplin dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) membentuk semangat dalam jiwanya untuk membantu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengurangkan penularan pandemik berbahaya itu.

AIN Farihah.

Penuntut Ijazah Sarjana Biokimia Universiti Putra Malaysia (UPM), Ain Farihah Zulkifli, 27, berkata dia berpuas hati dengan elaun RM50 sehari sebelum ini kerana niat sebenarnya adalah untuk membantu menurunkan pandemik COVID-19.

“Elaun RM50 sehari sekarang memang cukup untuk saya kerana suami bekerja dan kami belum ada tanggungan anak serta kenaikan elaun itu saya anggap sebagai bonus untuk sukarelawan kesihatan.

“Saya amat bimbang akan pandemik COVID-19 yang masih belum menampakkan tanda akan terhapus dan saya harap usaha membantu di PPV Sungai Udang ini sedikit sebanyak mampu membantu usaha menurunkan kadar jangkitan,” katanya.

Dia yang sudah bertugas sejak April lalu berkata, kehadiran menerima vaksin di pusat itu menggembirakannya kerana meskipun sekadar menjalankan tugas pendaftaran, dia berbangga mampu memberikan sumbangan kepada negara.

ALIF Nazrine.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Dengkil, Selangor, Alif Nazrine Azman, 19, berkata meskipun baru seminggu memberikan perkhidmatan, dia gembira kerana berpeluang menyumbang untuk negara.

“Mungkin ada pihak melihat apalah sangat kerja saya mendaftarkan penerima vaksin tetapi saya amat gembira dan bangga dapat memberikan sumbangan kepada usaha kerajaan menyelamatkan nyawa manusia,” katanya.

Dia berkata, elaun berkenaan memberi peluang kepadanya untuk membuat sedikit tabungan bagi kegunaan pengajiannya.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata seramai 19,000 sukarelawan kesihatan dijangka menerima kenaikan sagu hati itu dengan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM180 juta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1290
Kongsi :
Previous post Dr Md Amin naib canselor UPSI baharu
Next post ‘PPSPM tak duduk diam’
Ubah saiz-+=