SUKARELAWAN BELIA MELAKA TANAM 200 POKOK
ASAHAN 7 Disember – Sebanyak 200 pokok telah ditanam di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Selandar, di sini, bersempena sambutan Hari Sukarelawanan Belia Peringkat Melaka, hari ini.
Penanaman pokok itu membabitkan seramai 150 sukarelawan daripada tiga institusi pengajian dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.
Antara yang terlibat adalah Institut Kemahiran MARA, Jasin; Institut Latihan Perindustrian Selandar; Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin; Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Simpang Bekoh dan Gerakan Belia 4B Malaysia (Kawasan Jasin).
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) itu telah dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan dan Pengarah JBS Negeri Melaka Mohamad Mazlan Anis.
Yang turut hadir, Ketua Program Hutan Ladang, Bahagian Bioteknologi Perhutanan FRIM Dr. Rosdi Koter; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Ketua Komunikasi Korporat FRIM Toh An Nee; Penolong Pengarah Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Melaka Nur Shifatil Ulya Sidek Omar dan lain-lain kenamaan.
Antara pokok yang ditanam para sukarelawan pada program itu adalah meranti temak nipis (Anthoshorea roxburghii) dan merawan siput jantan (Hopea odorata).
Para peserta terlibat turut diberi penerangan mengenai plot-plot kajian penanaman pokok hutan ladang, selain kaedah penanaman pokok yang betul disampaikan Ketua Cawangan Silvikultur Ladang FRIM Dasrul Iskandar Darus Ahmad dan Pakar Arborist FRIM Abdul Hayat Mat Saad.
Selain itu, turut diadakan pertandingan fotografi yang bertemakan: Tanah, Pokok, Langit oleh Gerakan Belia 4B Malaysia, Kawasan Jasin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.