Sorting by

×

SUKAN MEMANAH TRADISIONAL BERKEMBANG DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TANJUNG BIDARA 15 April – Sesuai dengan saranan agar umat Islam mengamalkan sunnah Rasulullah SAW sukan memanah tradisional kini semakin berkembang di Negeri Melaka.

Presiden Persatuan Memanah Melaka (MELTRA) Mohd Irham Mohd Ihsan berkata, bukan sahaja mengamalkan sunnah sukan itu juga secara tidak langsung memartabatkan warisan, budaya dan adab orang Melayu menerusi pemakaian busana khususnya tanjak menjadi perhiasan di kepala.

Katanya, meskipun mengikut kiraan usia MELTRA baru sahaja ditubuhkan secara rasmi setahun lalu namun persatuan mewakili kelab seluruh Melaka itu sudah aktif sejak beberapa tahun lalu.

“Selepas mendapat saranan daripada Persatuan Memanah Tradisional Malaysia (TAAM) kami menubuhkan MELTRA, bertujuan melancarkan lagi aktiviti dilaksanakan kelab-kelab memanah di Melaka termasuk menganjurkan pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan.

“Setakat ini kita ada 10 kelab yang aktif di Alor Gajah, sementara itu di pula Jasin (tiga) manakala Melaka Tengah (dua). Insya-Allah kami dalam usaha untuk mengembangkan lagi sukan ini terutama dalam kalangan pelajar sekolah sekitar Melaka,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Memanah Tradisional Melaka Siri 8/2025 Piala Ketua Menteri Melaka berlangsung di Padang Bola Kampung Seri Jeram, Masjid Tanah, di sini, Ahad lalu.

Penyampaian hadiah dan perasmian penutup kejohanan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka Mohd Asri Ninggal.

Yang turut hadir Presiden TAAM, Zainurin Osman; Pengerusi Kelab Memanah Tradisional Seri Jeram (KEMETRAM) Abdul Rahman Mahad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seri Jeram, Abdul Rahim Yunus.

Katanya, pihaknya kini sedang melakukan persiapan untuk menghadapi kejohanan memanah kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Universiti Islam Melaka (UNIMEL) pada 31 Mei dan 1 Jun depan.

“Hasil daripada penganjuran ini kami mengenal pasti pemanah berbakat untuk mewakili Melaka ke kejohanan itu nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1008
Kongsi :
Previous post RUMAH TERBUKA AIDILFITRI SUNGAI RAMBAI HIDANG MAKANAN LAUT
Next post MELAKA LUNCUR INISIATIF SEKOLAH RINTIS KAMPUNG DIGITAL