SUKAN LAMBANG PERPADUAN ORANG MELAKA
SUNGAI UDANG 11 Januari – Penganjuran Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka bakal dipertimbangkan sebagai acara tahunan selepas julung kali diadakan tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, mewakili Kerajaan Negeri, beliau memutuskan untuk menyatukan semangat perpaduan dan kesukanan antara semua badan beruniform menerusi Kejohanan Sukan.
“Sekiranya sambutan pada kejohanan siri pertama ini begitu baik kita akan mempertimbangkan untuk ia dijadikan sebagai sebagai acara tahunan.
“Namun begitu sudah pasti lokasi penganjuran bukan lagi di Kem Terendak tetapi akan pindah ke badan beruniform yang lain untuk menjadi tuan rumah kejohanan.
“Ia bergantung kepada kemudahan dan juga fasiliti yang ada selain itu sekiranya ada badan beruniform lain yang sanggup untuk menjadi tuan rumah kita akan memberikan kerjasama dan boleh dijadikan sebagai acara tahunan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati Dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025, di Lapang Sasar Kem Terendak, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin dan Panglima 10 Bridge Para, Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal.
Menurut Ab Rauf, penganjuran sukan seperti itu bukan sekadar sebuah pertandingan tetapi juga sebagai lambang perpaduan dan kerjasama yang mampu memangkin hubungan erat antara anggota beruniform dan masyarakat.
“Tidak dinafikan, sukan juga merupakan satu indikator utama bagi menjamin kesepaduan rakyat selain menjadi antara penyumbang sinergi pembangunan ekonomi menerusi pemerkasaan sektor industri sukan seiring dengan perkembangan di peringkat global.
“Kerajaan Negeri cukup yakin dengan penganjuran dua program sukan yang julung kali diadakan ini akan menjadi satu wadah penting untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik dan menjalin silaturahim antara tentera dan badan beruniform lain, agensi kerajaan serta masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.