Sorting by

×

Sukan elektronik meriahkan industri pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Disember – Penganjuran sukan elektronik dalam skala yang besar secara tidak langsung akan merancakkan lagi industri pelancongan di Melaka.

Timbalan Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, dengan perkembangan pesat sukan elektronik atau e-sports ia secara tidak langsung menjadi penarik kepada akan golongan belia.

“Melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada peminat sukan e-sports saya ini, saya berharap untuk penganjuran pada tahun hadapan ia dapat dilakukan dalam skala yang lebih besar.

“Dengan penganjuran ini ia bukan sahaja membabitkan penyertaan dari dalam Melaka tetapi juga dari luar negara dan secara tidak langsung dapat memeriahkan sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Melaka Esports Carnival 2023 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Melaka Jay Yeow Chin Chai dan Presiden Persatuan Sukan Elektronik Melaka, Muhammad Hamka Mohd Ali.

Zaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam berkata, menerusi program yang dianjurkan seperti Melaka Esports Carnival itu, ia bukan sahaja menyaksikan kecemerlangan teknologi tetapi turut menyentuh aspek penting dalam pembangunan modal insan.

“E-sports ini bukan sekadar permainan video tetapi merangkumi elemen pembelajaran, kerjasama berpasukan dan meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah serta lebih berdaya saing dalam menghadapi cabaran di era digital ini.

“Mewakili Kerajaan Negeri, saya menyeru kepada semua agar terus menyokong pertumbuhan industri e-sports terutama permainan digital online yang mencatatkan pulangan ekonomi memberangsangkan selain menjana kreativiti dan potensi diri.

“Dengan sokongan daripada kerajaan dan penajaan daripada syarikat korporat, saya yakin e-sports ini akan dapat dikembangkan selain golongan belia boleh berusaha menjadi seorang pemain profesional,” katanya.

Terdahulu Melaka Esports Carnival 2023 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam menghimpunkan seramai 412 penyertaan dari seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1128
Kongsi :
Previous post KPDN Melaka terus gempur premis seleweng minyak masak bersubsidi
Next post TMM2024: Jangan ambil kesempatan naikkan harga
Ubah saiz-+=