Sorting by

×

SUKAN DUA JIWA SATU HATI RAPATKAN JURANG, TINGGALKAN KENANGAN MANIS

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

TANJUNG BIDARA 16 Februari – Penganjuran Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 yang melabuhkan tirainya hari ini telah meninggalkan satu kenangan manis buat Negeri Melaka.

Acara julung kali diadakan itu terbukti berjaya mencapai objektifnya iaitu merapatkan jurang di antara anggota badan beruniform dengan rakyat, di samping menjadi ‘jambatan’ merapatkan ukhwah segenap lapisan masyarakat.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, selaku pengerusi bersama program berkenaan, beliau menzahirkan rasa terharu dan bangga dengan sambutan yang diterima.

Menurutnya, kerjasama erat yang diberikan oleh ‘tuan rumah’ iaitu Markas 3 Divisyen dan semua anggota badan beruniform di seluruh Melaka telah berjaya merealisasikan penganjuran sebuah acara penuh gilang-gemilang.

“Karnival ini bukan hanya berfokus kepada sukan tetapi turut menyelitkan pelbagai pengisian seperti Tanjung Bidara Berselawat, konsert yang menampilkan artis popular dan legenda tanah air, pertunjukan badan beruniform serta pameran daripada pelbagai agensi.

“Syabas diucapkan kepada semua pemenang dan tahun depan insya-Allah kita akan tambah baik lagi dan kita akan jayakan dengan lebih baik lagi penganjuran karnival ini di lokasi yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pantai Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Yang turut hadir, Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad; Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi Latihan dan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin; Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid; Panglima-Panglima Formasi; Pegawai-Pegawai Kanan serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Dalam pada itu, Rais mewakili warga Sungai Udang dan Tanjung Bidara turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah memberikan sumbangan besar bagi menjayakan karnival yang memberi limpahan manfaat dan ekonomi kepada penduduk sekitar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

159
Kongsi :
Previous post GOLONGAN MEMERLUKAN TURUT DISANTUNI
Next post WRUR: MBMB, MPHTJ SEDIA SELESAI MASALAH RAKYAT DI PENGKALAN BATU