Sorting by

×

Sukan bola sepak perlu diberi nafas baharu- Muhyiddin

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat sukan bola sepak negara perlu diberi nafas baharu dan diperkasakan semula susulan impak pandemik COVID-19 terhadap perkembangan serta aktiviti sukan nombor satu negara itu ketika ini.

Perdana Menteri menegaskan bola sepak tidak hanya tertumpu kepada saingan Liga Malaysia (Liga-M) di bawah seliaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), sebaliknya meliputi keseluruhan rantaian sukan itu di pelbagai peringkat seperti industri hiliran dan operator sukan.

“Saya juga mengambil maklum mengenai langkah diambil FAM dalam memastikan Liga-M dijadual bermula Mac ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi menjamin penularan wabak COVID-19 dapat dielakkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya semalam.

 

HAMIDIN menyerahkan jersi baharu Malaysia kepada Muhyiddin dalam pertemuan di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. Foto- Facebook PM Muhyiddin

Terdahulu, Muhyiddin menerima kunjungan hormat delegasi FAM diketuai presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin diiringi Naib Presiden FAM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

“Saya tertarik dengan perkongsian Hamidin mengenai agenda terkini dan hala tuju perkembangan bola sepak tempatan yang direncana FAM, antaranya, saingan Liga-M dan persiapan pasukan kebangsaan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023,” jelas Muhyiddin.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sentiasa berkongsi maklumat serta perkembangan terkini mengenai penganjuran Liga-M dan yakin dengan kerjasama erat FAM, kemeriahan sukan bola sepak kembali dapat dinikmati semula.

Muhyiddin turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Hamidin yang menang tanpa bertanding jawatan Presiden FAM bagi penggal 2021-2025 yang akan disahkan pada Kongres FAM ke-57 dijadual berlangsung Mac ini.

“Saya harap agar FAM di bawah kepimpinan Hamidin dapat menghadiahkan berita gembira untuk rakyat dengan mengemudi skuad Harimau Malaya beraksi di pusingan akhir Kejohanan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di China,” katanya.

Sementara itu, Hamidin, dalam kenyataan, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Muhyiddin atas kesudian meluangkan masa membincangkan beberapa agenda penting dalam menentukan masa depan bola sepak negara di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.

Katanya, pertemuan itu juga membincangkan inisiatif keperluan vaksin bagi memudahkan keluarga bola sepak tempatan meneruskan saingan Liga-M musim ini di sebalik kebimbangan terhadap jumlah kes positif COVID-19.

Hamidin berkata turut dibincangkan adalah kaedah menangani cabaran buat pengendali kemudahan sukan bola sepak dan futsal termasuk akademi bola sepak yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Views:

381
Kongsi :
Previous post Status kawalan kanabis kekal
Next post Walaupun di kawasan PKPD, calon SPM yang sihat perlu duduki peperiksaan
Ubah saiz-+=