Sorting by

×

Suk Won mahu FAM hukum Syafiq Ahmad

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 12 Okt. – Tonggak pertahanan import Melaka United Jang Suk Won meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan disiplin terhadap pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad.

Ia susulan tindakan pemain di posisi serangan JDT itu menyiku dagunya dan gagal menunjukkan semangat kesukanan dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu.

Menurutnya, tindakan itu seharusnya menerima kad merah daripada pengadil kerana jelas pemain itu mempunyai niat untuk melakukan kekerasan, namun pengadil hanya melayangkan kad kuning.

“Syafiq menyiku dagu saya ketika melonjak di udara. Pada pendapat saya dia memang tidak melihat bola pada waktu itu dan sengaja mahu mencederakan saya.

“Ia amat menyakitkan dan ada boleh melihat sendiri dalam rakaman video. Sudah tentu saya merasakan sepatutnya dia menerima kad merah, tetapi pengadil hanya melayangkan kad kuning.

“Tidak hanya itu, selepas melakukan kekerasan, dia langsung tidak meminta maaf, sebaliknya terus mengejek saya. Saya tahu dia seorang pemain yang bagus, tapi situasi itu jelas menunjukkan dia tiada semangat kesukanan,” katanya ketika dihubungi Melaka hari Ini.

Mengulas lanjut insiden berkenaan, Suk Won meminta Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk membuat penilaian melalui video perlawanan dan mengenakan tindakan sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada semua pemain.

“Sebelum kejadian disiku, saya ada melakukan terjahan ke atas Syafiq, tetapi ia bukanlah terjahan yang keras kerana fokus saya ialah kepada bola. Cuma mungkin apa saya sedikit terlewat dan pengadil memberikan sepakan percuma kepada JDT. Bagi saya ia sesuatu yang biasa terjadi dalam bola sepak.

“Tetapi dia (Syafiq) tidak seharusnya menjadikan itu sebagai sebab untuk membalas dendam dan melakukan kekasaran yang tidak sepatutnya. Memang jelas dia dengan sengaja mahu menyiku saya.

“Sebab itulah saya berharap FAM melakukan penilaian semula terhadap insiden berkenaan dan mengenakan hukuman sewajarnya berhubung tindakan yang tidak profesional itu,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu, Melaka United diaibkan JDT selepas tewas 0-5, sekali gus tersungkur ke kedudukan kesembilan Liga Super.

Views:

844
Kongsi :
Previous post 121 individu termasuk penagih dan pengedar dadah diberkas
Next post JDT kekal menyengat walau tanpa Safawi
Ubah saiz-+=