Sorting by

×

Sudah ada lesen, penjaja lega boleh berniaga dengan selamat

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BEMBAN 27 Feb. – Peniaga dan penjaja melahirkan rasa lega dan syukur kerana penantian untuk mendapatkan lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi kenyataan.

Marlina Sanibar Hamid, 28, berkata sejak berniaga air lima tahun lalu, dia pernah memohon lesen perniagaan sah, namun agak sukar untuk diluluskan kerana prosedur ditetapkan sebelum ini agak ketat.

MARLINA…sebelum ini rasa macam ‘pesalah’ sahaja berniaga tanpa lesen.

Bagaimanapun, katanya sejak dibenarkan bebas berniaga, dia terus memohon lesen perniagaan menerusi kaunter bergerak tanpa perlu ke pejabat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ)memandangkan syarat yang ditetapkan lebih mudah.

“Sebelum ini rasa macam ‘pesalah’ sahaja berniaga tanpa lesen selain diganggu pihak tidak bertanggungjawab yang tidak puas hati saya berniaga.

“Sejak MPHTJ memudahkan urusan semua peniaga, saya terus mohon dan membuat pembayaran sebanyak RM63 di kaunter bergerak MPHTJ,” katanya ketika ditemui selepas menerima lesen peniaga di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Bemban di sini semalam.

Marlina Sanibar antara 14 peniaga kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban menerima lesen perniagaan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman.

Turut hadir, Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman.

Sementara itu, nada sama disuarakan penjual nasi kukus, Abdul Hakim Ahmad Harun, 26, yang menyifatkan usaha MPHTJ itu dapat memudahkan urusan peniaga menjana pendapatan terutama bagi mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Sebelum ini saya ada memohon dan berniaga di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh namun tidak dapat memperbaharui lesen perniagaan kerana terkesan akibat COVID-19.

“Bagaimanapun, inisiatif yang diuar-uarkan melalui JAPERUN apabila memaklumkan kaunter bergerak akan berada di JAPERUN hari ini (semalam), saya terus memohon lesen perniagaan itu.

“Jadi, tidak perlu susah-susah hendak ke pejabat MPHTJ, segalanya dipermudahkan,” katanya.

Sementara itu, Shadan berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, MPHTJ mengeluarkan 445 lesen perniagaan bermula 5 Mei 2020 hingga 25 Februari 2021.

Katanya, lesen itu dikeluarkan bagi membantu peniaga dan penjaja yang berniaga di tepi jalan untuk menambah pendapatan.

“Bagaimanapun, peniaga dan penjaja diingatkan tidak mengambil mudah kelonggaran diberi sebaliknya mengambil kira faktor keselamatan dan kebersihan sebelum memulakan perniagaan.

“Peniaga akan memilih lokasi perniagaan mereka, namun MPHTJ akan menentukan sama ada ia selamat atau sebaliknya dan sekiranya tidak selamat seperti mengganggu lalu lintas atau lokasi berbahaya, kita akan cadangkan lokasi lain yang bersesuaian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1469
Kongsi :
Previous post 45,000 sukarelawan ABC-19 dekati komuniti kekang penularan COVID-19
Next post Mohd Radzi bersama empat guru terima suntikan vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=