Suburkan usaha murni sepanjang Ramadan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TANJUNG BIDARA 16 Mac – Usaha murni dalam menyantuni dan mendekati komuniti kurang bernasib baik di Negeri Melaka wajar dijadikan amalan di pelbagai peringkat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, aktiviti seumpamanya bukan sahaja mengeratkan ukhuwah, bahkan turut menjadi lambang keprihatinan yang boleh diikuti segenap lapisan masyarakat.

Jelas beliau, program berbentuk ziarah kasih dan penyampaian sumbangan amat besar maknanya, lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan, bulan yang penuh keberkatan.

“Seperti program Konvoi Santunan Mahabbah Ramadan ini, saya amat menyambut baik usaha murni Wanita UMNO Bahagian Masjid Tanah dalam mendekati komuniti, khususnya insan kurang bernasib baik.

“Saya difahamkan, konvoi ini akan menyantuni golongan memerlukan di sekitar Masjid Tanah, termasuklah ibu tunggal, pesakit kanser dan kencing manis serta warga emas yang uzur.

“Saya berharap program seperti ini bukan hanya digerakkan hari ini sahaja, bahkan ia wajar diperluaskan pada masa-masa akan datang. Semoga usaha kita semua mendapat berkat Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkasnya sebelum menyempurnakan pelepasan peserta Konvoi Santunan Mahabbah Ramadan Wanita UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa d’Acqua, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Hakim Abdul Wahid dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Masjid Tanah Siti Kalthsom Ahmad.

Konvoi membabitkan 48 peserta dan 12 kenderaan itu telah menjelajah ke 11 lokasi membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Lendu, Taboh Naning, Ayer Limau dan Kuala Linggi.

Selain sesi ziarah, peserta konvoi turut menyampaikan sumbangan kit makanan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

921
Kongsi :
Previous post Nikmat sate tulang, kambing golek Hotel Holiday Inn
Next post Pengiktirafan Bandar Paling Bahagia gamit pelancong ke Melaka
Ubah saiz-+=