Sorting by

×

Subsidi bersasar perlu diperluas kepada barangan bersubsidi lain bagi elak ketirisan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Pendekatan subsidi bersasar perlu diperluaskan kepada barangan bersubsidi lain agar sumber yang terhad ditumpukan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan tidak berlaku ketirisan subsidi kepada pengguna berkemampuan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata ketika ini kerajaan menanggung kos subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) serta kos subsidi bagi minyak masak.

“Selaras dengan kenaikan harga pasaran minyak sawit, perbelanjaan subsidi minyak masak pada 2020 adalah RM500 juta dan meningkat lebih empat kali melebihi RM2 bilion pada 2021 dan terus menunjukkan trend meningkat pada awal 2022,” katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan juga telah mengambil langkah baharu seperti memperkenalkan subsidi bagi ayam dan telur dengan kos subsidi melebihi RM130 juta sebulan bagi melindungi rakyat daripada kenaikan harga yang mendadak.

“Pendekatan ini tidak bersasar dan subsidi harga sama ada petrol atau ayam memanfaatkan semua pengguna tanpa mengira tahap pendapatan dan tahap penggunaan. Dengan itu, kerajaan kini menampung subsidi berbilion untuk golongan berpendapatan tinggi yang sepatutnya lebih wajar dibelanjakan untuk pembangunan negara dan bantuan kepada golongan yang memerlukannya,” katanya.

Menurutnya dalam Bajet 2021, RM28 bilion telah diperuntukkan bagi tujuan subsidi.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata pada tahun ini kerajaan terpaksa menampung peningkatan subsidi petrol, diesel dan gas cecair memasak atau LPG yang ketara sehingga 10 kali ganda iaitu meningkat kepada lebih RM2 bilion pada Januari 2022 berbanding RM200 juta pada Januari 2021.

“Sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melebihi US$100 setong, jumlah subsidi tersebut bagi keseluruhan 2022 dijangka mencecah RM28 bilion berbanding RM11 bilion pada 2021.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan telah memperuntukkan subsidi dan bantuan pendidikan sebanyak RM7.7 bilion, subsidi untuk pengusaha pertanian berjumlah RM2 bilion dan subsidi pengangkutan termasuk perkhidmatan udara luar bandar sebanyak RM1.9 bilion. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

857
Kongsi :
Previous post Pemerkasaan mahasiswa UTeM menerusi formula TUAH Index
Next post Tiga dikhuatiri tertimbus tanah runtuh di Ampang
Ubah saiz-+=