Sorting by

×

Subjek pendidikan politik perlu diwujudkan di sekolah – Qi Yao

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KOTA MELAKA 14 November – Subjek pendidikan politik dilihat perlu diwujudkan di sekolah bagi memberi pendedahan awal kepada pengundi muda khususnya mereka yang pertama kali akan menjalankan tanggungjawab memilih.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Melaka Kon Qi Yao berkata, sekiranya tiada pendedahan awal diberikan kepada pengundi muda yang pertama kali keluar mengundi, mereka dikhuatiri ‘hilang arah’ untuk membuat pilihan calon mana yang wajar dipilih.

“Bagi saya perlu diadakan pendidikan politik di sekolah supaya lagi awal golongan remaja ini diberi pendedahan dan ada pengetahuan.

“Sepatutnya mereka tahu, yang mereka boleh memilih pemimpin atau Yang Behormat (YB) yang diyakini boleh mewakili mereka bukannya berdasarkan pandangan atau telunjuk orang lain,” katanya.

Meskipun percaya golongan muda ini mampu membuat keputusan dengan bijak namun, beliau tetap meluahkan rasa bimbang jika ada yang tersalah percaturan.

“Pengundi muda saya paling risau sekiranya mereka hanya mendengar sahaja apa yang disebut.

“Sepatutnya dalam sistem demokrasi, setiap individu ada pandangan serta pendapat sendiri yang boleh pertimbangkan dari setiap aspek untuk membuat keputusan serta pilihan,” katanya.

Terdahulu, Qi Yao melakukan walkabout di sekitar kawasan berhampiran Kolej Tingkatan Enam (KTE) Tun Fatimah Durian Daun, dan turut bersamanya Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie.

Sementara itu, bagi pengundi muda, Jay Chong San Jet, 19, mengakui agak gementar menjelang tibanya hari mengundi pada 19 November ini, memandangkan dia masih berbelah bahagi untuk memilih calon.

“Saya sekarang ini ada sedikit konflik kerana berbelah bahagi untuk memilih calon memandangkan mereka mempunyai tarikan tersendiri.

“Tetapi bagaimanapun saya perlu lihat juga pandangan keluarga selain sumbangan calon yang banyak membantu,” katanya yang menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin sebagai pemimpin idolanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2248
Kongsi :
Previous post KKM pantau konjak jeli berisiko tercekik kepada kanak-kanak
Next post Peka nasib petani, penternak terkesan banjir
Ubah saiz-+=