Sorting by

×

Suasana malam di Zoo Melaka gamit keterujaan pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 4 Ogos – Rata-rata pengunjung ke Zoo Melaka pada Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Ogos menyatakan keterujaan pertama kali berkunjung ke lokasi terbabit pada waktu malam.

Menurut pengunjung,Azizul Hamzah, 37, dari Bukit Katil berkata kunjungan itu memberikan keterujaan kepada dua anaknya apabila dapat melihat haiwan nokturnal di Zoo Melaka.

“Pada saya waktu malam lebih mudah membawa anak-anak berjalan kerana di Zoo Melaka ini apabila siang panas, malam lebih redup dan anak-anak juga terlihat gembira. Tidak tantrum akibat cuaca panas.

“Selain itu, menerusi program seumpama ini dapatlah kami rakyat Melaka merasai tanpa bersesak sangat ke lokasi pelancongan negeri,” katanya yang hadir membawa isteri dan dua anak.

Nada sama turut disuarakan pengunjung, Marzita Omar, 41, mengenai suasana malam di Zoo Melaka lebih sejuk dan tenang melihat haiwan bersama keluarga.

Jelasnya, pengeluaran kos yang mampu milik antara tujuan utama dia bersama keluarga mengunjungi Zoo Melaka.

“Kami anak beranak berasa teruja dapat melawat haiwan-haiwan di sini, sebagai contoh kalau pergi waktu siang, harimau atau singa duduk saja, tapi bila pergi waktu malam barulah kami dengar suara ngauman dan haiwan terbabit aktif.

“Bukan anak sahaja teruja, saya sendiri seronok. Bukan sahaja tiket yang ditawarkan murah malah ia berbaloi,” katanya yang berasal dari Krubong.

Dalam pada itu, bagi Muhamad Faizan Kamarudin, 35, yang berkunjung bersama isteri dan anak merasakan pengalaman pertama menjejak kaki ke Zoo Melaka pada waktu malam lebih seronok berbanding pada waktu siang.

Katanya, meskipun tidak dapat melihat semua haiwan namun suasana di Zoo Melaka pada sebelah malam memberikan pengalaman baharu buat dia dan keluarga.

“Pada saya Zoo Melaka di waktu malam ini lebih menarik berbanding waktu siang, suasana lebih tenang, tidak panas, tram juga disediakan, tidak perlu berjalan jauh dan anak-anak gembira.

“Cuma pihak Zoo Melaka mungkin boleh menambah baik fasiliti dan beberapa papan tanda mengenai info haiwan dengan meletakkan pencahayaan yang cukup untuk ia lebih jelas dibaca dan difahami,” katanya yang tinggal di Tanjung Bidara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

337
Kongsi :
Previous post Bila Larut Malam peluang bawa keluarga besar ‘ambil angin’ malam
Next post Melaka River Cruise pilihan ramai
Ubah saiz-+=