Suami maut, isteri parah motosikal dirempuh
ALOR GAJAH 20 Ogos – Niat mencari rezeki berakhir tragedi apabila suami maut, manakala isteri parah selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Garing Durian, berhampiran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini pagi semalam.
Dalam kejadian pada jam 8.45 pagi itu, penunggang motosikal S Balakrishnan, 57 maut di lokasi kejadian, manakala pembonceng yang juga isterinya, K Komalar, 50 parah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri dalam perjalanan dari Durian Tunggal menghala ke Machap manakala pemandu kereta jenis Proton Saga berusia 42 tahun dalam perjalanan dari arah bertentangan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa membelok lebih awal memasuki simpang untuk menoreh di kebun getahnya.
“Bagaimanapun, pemandu kereta yang datang dari arah hadapan cuba mengelak mangsa dan isterinya namun tidak sempat lalu merempuh bahagian hadapan motosikal dinaiki kedua-duanya.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemboncengnya parah,” katanya.
Arshad berkata, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala isterinya yang cedera dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Susulan kejadian itu, pemandu kereta diminta hadir ke Balai Polis Alor Gajah untuk siasatan lanjut dan kedua-dua kenderaan yang terlibat dibawa ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.