SUAMI ISTERI TABAH JAGA 3 ANAK LUMPUH OTAK, BERSYUKUR TERIMA SUMBANGAN BISTARI
SUNGAI UDANG 8 Februari – Hanya rasa syukur dan terima kasih dapat dizahirkan pasangan suami isteri dari Kem Terendak apabila nasib mereka dalam membesarkan tiga anak istimewa mendapat perhatian banyak pihak.
Salmawati Abdul Latif, 40, bersama suaminya yang juga seorang tentera merupakan antara 32 penerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas daripada Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI).
Menurut Salmawati, sumbangan tersebut besar maknanya buat mereka sekeluarga terutama dalam meringankan beban dalam membesarkan tiga anak mereka yang disahkan lumpuh otak sejak kecil.
“Terima kasih kepada BISTARI, Kerajaan Negeri Melaka dan semua yang prihatin dan menghulurkan sumbangan kepada anak-anak istimewa dari Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Ummi Kem Terendak.
“Kami sangat menghargai bantuan seperti ini kerana ia amat membantu dalam meringankan beban kami semua.
“Saya juga amat bersyukur kerana pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut prihatin dengan nasib keluarga kami apabila menyediakan pelbagai bantuan, termasuk kemudahan kediaman dan parkir berhampiran untuk memudahkannya mengurus anak-anak terlantar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Salmawati dan suami ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kebajikan BISTARI/BAKAT kepada Anak-Anak Tentera yang disempurnakan Pengerusi BISTARI Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab. Aziz di PDK Ummi Kem Terendak, di sini, hari ini.
Bercerita tentang penyakit anaknya itu, Salmawati berkata, kesemua anaknya dilahirkan normal, namun semuanya berubah apabila tiga daripada lima anak lelaki mereka diserang sawan ketika masih bayi sebelum disahkan lumpuh otak.
“Semuanya kerana penyakit yang dipanggil Glutaric Aciduria Type 1 kerana genetik dibawa saya dan suami. Disebabkan itu, anak-anak kami memiliki genetik yang tidak boleh memecahkan protein.
“Bila kami makan atau beri protein kepada anak-anak ia umpama racun kepada mereka menyebabkan berlakunya krisis seperti sawan yang akhirnya menyebabkan anak-anak mengalami lumpuh otak,” katanya.
Meskipun mengakui bukan mudah mengurus anak-anak syurga ini, namun dia dan suami tetap bertekad menjaga anak-anak syurga mereka dengan penuh kasih sayang selagi hayat dikandung badan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.