Sorting by

×

Suami, isteri orang antara tiga pasangan dicekup JAIM

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Januari – Alasan berhenti untuk makan dan kereta rosak tidak berhasil apabila seorang lelaki yang sudah berkahwin bersama pasangannya yang juga isteri orang ditahan dalam sebuah kenderaan denga keadaan mencurigakan.

Pasangan yang mengaku kenalan itu memberi alasan sedemikian ketika Operasi Perahu Darat (OPEDA) oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tepi Jalan, Lebuh Ayer Keroh kira-kira jam 10.40 malam tadi.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, kawasan tersebut gelap dan menemui sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan menemui sepasang lelaki dan perempuan duduk di kerusi hadapan kereta dengan keadaan enjin kereta hidup.

“Ketika ditanya, pasangan tersebut memberi alasan berhenti seketika untuk makan dan si perempuan memberi alasan menggunakan perkhidmatan e-hailing oleh si lelaki kerana keretanya rosak.

“Walaubagainapun pasangan itu gagal menunjukkan bukti tempahan melalui aplikasi telefon dan mereka mendakwa adalah kenalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hadir sama dalam OPEDA tersebut adalah Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri, Akmal Nadzim Abdullah yang mengetuai operasi terbabit.

Che Sukri berkata, kedua-dua mereka antara tiga pasangan berusia 20 hingga 40 tahun yang ditahan dalam operasi yang bermula jam 10 malam dan berakhir jam 3 pagi tadi.

Tambah beliau turut ditahan, pasangan kekasih muda berusia 20 tahun yang memberi alasan ingin berehat sebelum menyelesaikan dokumen urusan pernikahan mereka pada Rabu ini.

Ujarnya, ketika ditahan di pesisiran Pantai Klebang, pihaknya mendapati pasangan tersebut berdua-duaan dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di tepi jalan dengan keadaan kerusi sebelah pemandu direbahkan.

“Pasangan mengaku bukan suami isteri dan mengaku telah bertunang serta akan bernikah dalam tempoh masa terdekat namun mereka mengaku datang dari Selangor dan Kuala Lumpur ke Negeri Sembilan pada 4 Januari bagi menguruskan urusan pernikahan.

“Namun jelas mereka, urusan tidak dapat diselesaikan dan perlu hadir semula pada 5 Januari (hari ini). Jadi, sementara menunggu pagi, mereka berehat dan bersiar-siar ke Melaka dan rehat dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, dua daripada tiga pasangan itu ditahan di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 seterusnya dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAIM untuk tindakan siasatan.

Manakala satu lagi pasangan kekasih yang ditangkap bermesra-mesraan di pesisiran Pantai Klebang diberikan Surat Perintah Hadir ke Penguatkuasaan Syariah JAIM pada tarikh dan masa yang ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2835
Kongsi :
Previous post Sepasang kekasih didakwa bunuh kanak-kanak lelaki di Kota Tinggi
Next post Agong mahu universiti di seluruh negara bantu aspek pendidikan pelajar
Ubah saiz-+=